Anda di sini

Karen Mok mahu bawa muzikal ala Broadway ke China

Advertisement
KAREN
KAREN

KAREN MOK kini mungkin sedang membuat persembahan dalam jelajah konsert yang menurutnya adalah yang terakhir baginya tetapi penyanyi dan aktres kelahiran Hong Kong itu tidak ada rancangan untuk bersara buat masa sekarang, malah dia mahu membawa muzikal ala Broadway ke China.

Wanita berusia 49 tahun itu sudah mengeluarkan 20 album solo dan membintangi lebih 40 filem dalam kariernya selama 25 tahun termasuk filem Keanu Reeves ‘Man of Tai Chi’ dan filem Wong Kar Wai ‘Fallen Angels’.

Dia juga pernah bekerja bersama seorang lagi bintang Hong Kong Jackie Chan dalam ‘Around the World in 80 Days’.

“Ia bukan bermakna saya akan bersara atau sebagainya … Saya tidak dapat meninggalkan pentas tetapi saya cuma rasa bahawa sekarang adalah masa yang baik untuk berhenti mengadakan konsert pop,” kata Mok kepada Reuters di London ketika dia melakukan lawatan untuk mempromosikan jelajahnya.

“Pada masa depan, saya mahu menceburi muzikal dan teater muzikal kerana itu adalah satu-satunya cinta sejati saya dalam bidang lakonan.”

Mok, yang pada 2005 dan 2006 membintangi muzikal hit Broadway ‘Rent’ sewaktu jelajah ulang tahunnya yang ke-10, berkata dia mahu China memiliki versi tersendiri bagi daerah teater New York atau West End di London.

“Banyak teater diusahakan di China tetapi seperti West End sebagai sebuah industri, ia sebenarnya belum ada lagi tetapi pada suatu ketika nanti, ia akan berlaku. Jadi saya rasa saya harus menyumbang ke arah itu,” katanya.

“Misi besar saya seterusnya dalam karier saya adalah untuk mencipta, dari bawah, sebuah muzikal untuk audiens China … Saya amat menyukai muzikal kerana ia membolehkan kita untuk secara serentak berlakon, menari, bernyanyi dan bermain muzik, dan peluang untuk melakukannya secara langsung setiap malam adalah menakjubkan … Kita harus ada muzikal asal kita sendiri.”

Jelajah penyanyi itu ‘Ultimate Karen Mok Show’ dilancarkan di Shanghai pada Jun 2018 dan merangkumi pertunjukan di Singapura, Taipei dan Beijing.

Di Eropah, dia akan membuat persembahan di Folies Bergere, Paris pada 12 September dan London Palladium pada 15 September – sebuah pertunjukan, yang digambarkan oleh Mok, yang belajar di Universiti London, sebagai “seperti pulang ke kampung halaman sedikit”. — Reuters

Advertisement