Anda di sini

Jurujual rugi RM182,000 ditipu sindiket melalui aplikasi WhatsApp

ALOR SETAR: Seorang jurujual wanita berusia 24 tahun kerugian RM182,340 selepas dipercayai terperdaya dengan sindiket ‘Pinjaman Wang Tidak Wujud’ oleh sebuah syarikat yang menawarkan pinjaman wang melalui aplikasi WhatsApp pada 2 Julai lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kedah Supt Annuar Amri Abd Muluf berkata wanita yang berasal dari Kuala Kedah dan bekerja di sebuah kedai telefon itu mendakwa menerima satu mesej daripada seorang lelaki melalui aplikasi WhatsApp.

“Individu tersebut memaklumkan bahawa dia merupakan seorang ejen pinjaman wang dari sebuah syarikat bernama ‘Agensi YMS’ dan syarikat tersebut menawarkan pinjaman berjumlah RM250,000 kepada mangsa yang ingin membuka sebuah kafe di Alor Setar.

“Pada 3 Julai, mangsa menerima satu pesanan ringkas dari talian 62033 yang menyatakan bahawa pinjaman mangsa diluluskan, namun perlu membuat pelbagai bayaran ke dalam beberapa akaun bank berlainan sebagai wang proses sebelum pinjaman RM250,000 dimasukkan ke dalam akaun mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Annuar Amri berkata mangsa melakukan 14 transaksi ke dalam lapan akaun bank tempatan yang berbeza melalui pindahan wang secara dalam talian serta perkhidmatan kaunter bank selepas mendapat arahan oleh ejen pinjaman wang berkenaan.

“Mangsa mengeluarkan wang simpanannya serta meminjam wang rakan sekerjanya untuk membayar RM182,340 sebelum kemudiannya memutuskan untuk tidak mahu meneruskan pinjaman dan memaklumkan kepada ejen berkenaan untuk membuat pembatalan.

“Ejen berkenaan meminta mangsa membuat pembayaran lain berjumlah RM25,000 atau kesemua wangnya tidak akan dipulangkan dan akan dibekukan oleh Bank Negara Malaysia dan mangsa kemudian menyedari telah ditipu dan membuat laporan polis kelmarin,” katanya.

Katanya kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata sebanyak 171 kes melibatkan modus operandi sama dilaporkan di Kedah bagi tempoh Januari hingga Jun 2019 yang melibatkan kerugian bernilai RM1.1 juta dan ia menunjukkan peningkatan sebanyak 26 kes berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terperdaya dengan mengabaikan iklan-iklan pinjaman wang yang ditawarkan melalui pesanan ringkas dan aplikasi seperti WhatsApp dan Telegram.

“Laporkan nombor telefon yang menawarkan perkhidmatan tersebut kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya. — Bernama