Anda di sini

Geng curi barang kemas perkahwinan dicekup

Advertisement
 Yusharifuddin (kanan) menunjukkan patung bersadur emas yang dirampas pihak polis hasil tangkapan suspek berkumpulan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Ayer Keroh, Melaka, semalam. — Gambar Bernama
DIRAMPAS: Yusharifuddin (kanan) menunjukkan patung bersadur emas yang dirampas pihak polis hasil tangkapan suspek berkumpulan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Ayer Keroh, Melaka, semalam. — Gambar Bernama

MELAKA: Polis menahan lapan lelaki yang giat melakukan kegiatan pecah rumah yang menyasarkan barang kemas yang akan digunakan untuk majlis perkahwinan dalam beberapa serbuan Ops Bridal di negeri ini.

Timbalan Ketua Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supt Yusharifuddin Mohd Yusop berkata kesemua suspek berusia lingkungan 24 hingga 54 tahun itu dipercayai aktif melakukan kegiatan jenayah terbabit sejak awal tahun ini.

“Kumpulan itu diketuai oleh seorang tukang emas yang mempunyai kepakaran dalam melebur emas yang dicuri dan membentuk rekaan baharu sebelum barang kemas itu digadai atau dijual semula,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Ayer Keroh di sini, semalam.

Beliau berkata, serbuan pertama dilakukan kira-kira jam 4.30 petang pada 7 Julai manakala serbuan terakhir pada kelmarin di Ayer Keroh, namun pihaknya percaya masih terdapat saki baki kumpulan itu yang masih bebas.

“Modus operandi kumpulan ini menyasarkan rumah-rumah mangsa berbangsa India yang akan melangsungkan majlis perkahwinan kerana kebiasaannya ketika majlis itu mangsa menyimpan barang kemas yang banyak untuk majlis perkahwinan

 “Kumpulan itu mempunyai mata-mata yang akan mengenal pasti rumah untuk dipecah masuk selain berperanan menentukan waktu yang sesuai kumpulan itu menjalankan kegiatan jenayah mereka,” katanya.

Yusharifuddin berkata, hasil siasatan kumpulan itu  dipercayai terlibat dalam 26 kes  pecah rumah di sekitar daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin sementara empat kes lagi di Tampin dan Gemencheh di Negeri Sembilan yang membabitkan kerugian kira-kira RM900,000.

Katanya, antara yang dirampas dalam serbuan itu ialah tiga patung bersadur emas, barang kemas yang dirampas dari kedai emas dan pajak gadai, telefon bimbit, televisyen, komputer riba, peralatan pecah rumah dan peralatan lebur emas serta jam tangan.

Beliau berkata kesemua mereka ditahan reman selama empat hari berakhir esok (hari ini) dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda. — Bernama

Advertisement