Anda di sini

Federer, Nadal tempah pertembungan epik

Advertisement
 Federer mempamerkan prestasi memberangsangkan ketika menentang Nishikori pada kejohanan Wimbledon di London, England kelmarin. — Gambar AFP
TERUSKAN KEMARAAN: Federer mempamerkan prestasi memberangsangkan ketika menentang Nishikori pada kejohanan Wimbledon di London, England kelmarin. — Gambar AFP

LONDON, England: Roger Federer dan Rafael Nadal menempah pertemuan epik di separuh akhir kejohanan Wimbledon Rabu lepas, 11 tahun selepas pertemuan kedua-dua pemain di final pada 2008 yang dianggap sebagai final terhebat pernah berlangsung pada kejohanan peringkat Grand Slam.

Federer, juara lapan kali Wimbledon, mencipta kemenangan ke-100 beliau di sini dan ke peringkat separuh akhir buat kali ke-13 selepas menewaskan Kei Nishikori dari Jepun 4-6, 6-1, 6-4 dan 6-4.

Pemain berusia 37 tahun dari Switzerland itu akan beraksi di separuh akhir kejohanan Grand Slam buat kali ke-45 dalam kariernya.

Nadal, juara dua kali, melangkah ke separuh akhir buat kali ketujuh di sini dan ke-32 keseluruhan di Grand Slam dengan menewaskan Sam Querrey dari Amerika Syarikat (AS), 7-5, 6-2 dan 6-2.

Perlawanan separuh akhir hari ini adalah pertemuan ke-40 kedua-dua pemain dan pertemuan ketiga di sini selepas Federer menang final pada 2006 dan 2007 sebelum Nadal menang pada 2008.

Perlawanan separuh akhir kedua menyaksikan juara empat kali yang juga pilihan pertama, Novak Djokovic menentang Roberto Bautista Agut, pemain pilihan ke-23 dari Sepanyol yang melangkah ke peringkat separuh akhir kejohanan Grand Slam buat kali pertama dalam kariernya.

Federer juga pemain paling tua yang melangkah ke separuh akhir sejak Jimmy Connors pada 1991 di Terbuka AS.

“Kami mempunyai banyak maklumat mengenai Rafa dan begitu juga sebaliknya. Saya tahu ramai orang sentiasa melihat pertemuan kami sebagai sesuatu yang besar,” kata Federer.

“Mereka melakukannya di Paris tahun ini (apabila Nadal menang di separuh akhir). Saya sememangnya mahu menentang beliau sekali lagi di sini (Wimbledon).

“Tetapi saya akan mengharunginya seperti perlawanan lain.”

Nadal, yang juga juara di sini pada 2010, hanya diberikan tentangan sengit pada set pertama. Beliau melakukan 10 pukulan servis kencang dan 44 pukulan kemenangan.

“Ia sememangnya hebat untuk bertemu Roger sekali lagi di sini,” kata Nadal, 33, yang memenangi kejuaraan Terbuka Perancis buat kali ke-12 dalam kariernya beberapa bulan yang lepas.

“Ia sukar untuk membayangkan untuk berada dalam situasi yang sama dan di sini kami bertemu sekali lagi. Saya teruja untuk menentang Roger di sini selepas satu tempoh yang agak lama.”

Federer berkata beliau tidak menyedari beliau menjadi orang pertama memenangi 100 perlawanan pada satu kejohanan Grand Slam yang sama.

“Saya tidak memikirkannya ketika saya bermain hari ini. Sebenarnya tidak langsung terfikir Kemudian ketika saya menandatangani autograf, seorang penonton berkata, Tahniah di atas kemenangan ke-100. Oh ya, saya tidak tahu. Saya lupa.”

Djokovic melangkah ke peringkat separuh akhir buat kali kesembilan, mencipta kemenangan ke-70 dalam kariernya di sini.

Juara bertahan itu menang selesa 6-4, 6-0 dan 6-2 ke atas pemain pilihan ke-21, David Goffin dari Belgium.

Bautista Agut menamatkan cabaran Guido Pella dari Argentina 7-5, 6-4, 3-6 dan 6-3 untuk penampilan sulung di separuh akhir satu kejohanan Grand Slam.

“Novak adalah pemain nombor satu dunia dan beliau bermain dengan sangat baik di permukaan rumput,” kata Bautista Agut, yang memiliki rekod pertemuan 3-7 menentang jaguh Serbia itu.

Bagaimanapun, dua kemenangan terakhir Bautista Agut adalah di Doha dan Miami tahun ini. — AFP

Advertisement