Anda di sini

Elaun untuk sukarelawan kebajikan diluluskan kabinet Sarawak.

Advertisement
 

KUCHING: Kabinet Negeri semalam meluluskan cadangan mewujudkan Skim Elaun Perkhidmatan Sukarelawan  Kebajikan dengan peruntukan RM1.96 juta setahun mulai 2019. 

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata skim ini khusus untuk sukarelawan kebajikan yang dilantik bagi mengkaji semula kes-kes bantuan bulanan kebajikan.

"Skim ini adalah satu daripada empat kertas kerja yang saya bentangkan pada mesyuarat kabinet semalam untuk mendapatkan kelulusan majlis mesyuarat negeri kerana ia melibatkan soal kewangan. 

"Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri yang telah meluluskan skim ini dan berharap dengan skim ini, perkhidmatan kita akan lebih cekap,"ujarnya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penganugerahan Sukarelawan dan Pengiktirafan Rakan Strategik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak di sini, malam Khamis.

Seramai 350 sukarelawan melibatkan 105 buah Pusat Komuniti Sukarela (PKS) hadir pada majlis tersebut yang juga bersempena Persidangan Sukarelawan JKM Sarawak 2019. 

Pada majlis tersebut, Fatimah turut menegaskan JKM tidak pernah melantik mana-mana individu atau persatuan menjadi ejen jabatan melainkan sukarelawan terpilih daripada setiap bahagian. 

Justeru beliau mengingatkan masyarakat terutama kumpulan sasar jabatan agar berhati-hati dengan taktik penipuan ini dan meminta  kerjasama para sukarelawan untuk menyebarkan mengenai perkara ini. 

Dari segi bidang kuasa pula menurut Fatimah, sukarelawan kebajikan tiada kuasa untuk memberhentikan bantuan bulanan. 

Kuasa untuk memberhentikan bantuan bulanan adalah dibawah tanggungjawab pegawai tetap kebajikan namun ia adalah penyelesaian terakhir selepas kajian kes dan sebab kukuh untuk bantuan tersebut ditamatkan. 

Majlis itu adalah untuk menghargai dan mengiktiraf jasa, sumbangan serta khidmat bakti ahli sukarelawan dan PKS yang telah sama-sama dalam penyampaian perkhidmatan dan membantu kumpulan sasar jabatan. 

Turut hadir, Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis, Setiausaha Tetap Kementerian, Dr Saadiah Abdul Samad serta Pemangku Pengarah JKM Sarawak, Joni Nuruddin. 

  • oleh
  • Advertisement