Anda di sini

Dr Jerip keluar PSB

Advertisement
 Menteri Muda Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil mengumumkan keluar daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) berkuat kuasa kelmarin.
KELUAR PSB: Menteri Muda Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil mengumumkan keluar daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) berkuat kuasa kelmarin.

KUCHING: Menteri Muda Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil mengumumkan keluar daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) berkuat kuasa kelmarin.

Perkara itu disahkan menerusi surat rasmi peletakan jawatannya daripada parti tersebut bertarikh 10 Julai 2019 yang diedarkan kepada pemberita menerusi kumpulan WhatsApp media yang berkaitan kerajaan negeri di Kuching semalam.

Dr Jerip yang merupakan timbalan presiden PSB menerusi surat berkenaan berkata, ia adalah keputusannya selepas mengambil pandangan dan nasihat penyokong termasuk rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong.

"Saya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong hari ini memutuskan bahawa saya keluar daripada PSB berkuat kuasa serta-merta.

"Ia adalah keputusan yang amat sukar bagi saya. Tetapi ia harus dilakukan kerana saya sedar dan yakin sepenuhnya bahawa hanya Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mempunyai visi, komitmen dan program yang membawa pembangunan dan kemajuan yang lebih baik kepada penduduk luar bandar," katanya.

Dr Jerip yakin penduduk akan mendapat lebih manfaat di bawah kerajaan GPS menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang mana ia membawa infrastruktur yang lebih baik ke kawasan luar bandar.

Malah katanya, ia juga membawa program sosioekonomi kepada penduduk dalam usaha memperkasakan kehidupan rakyat.

"Ketua Menteri kita tegas dan komited mempertahankan hak dan kepentingan Sarawak. Kami perlu berdiri teguh di belakang beliau.

"Ini adalah kepercayaan kita bahawa hanya kerajaan GPS dapat menyatukan rakyat Sarawak bagi membolehkan mereka menjalankan tanggungjawab mereka," tegasnya.  

Sehubungan itu, beliau memberitahu semua pihak harus menunjukkan solidariti dalam menghadapi cabaran yang mendatang dan memberi sokongan padu kepada Abang Johari.

Menurut Dr Jerip, keputusannya itu juga adalah bagi kepentingan masyarakat Bidayuh ke arah perpaduan dan kesatuan yang lebih utuh.

"Saya berikar bahawa saya menyokong penuh Ketua Menteri dalam terus memimpin Sarawak," ujarnya.

Bagaimanapun, Dr Jerip masih gagal dihubungi pemberita bagi mendapatkan ulasan lanjut berhubung perkara tersebut.  

Sementara itu, Abang Johari berkata beliau tidak maklum mengenai pengumuman Dr Jerip keluar daripada PSB.

"Tidak (tahu). Saya baharu mendengar (mengenai perkara itu)," katanya ketika ditemui di lobi Wisma Bapa Malaysia, semalam.

Diminta mengulas mengenai tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong itu, Abang Johari berkata, keluar daripada PSB adalah pilihan Dr Jerip.

Beliau juga berkata tidak tahu parti politik yang bakal disertai Dr Jerip selepas meninggalkan PSB.

"Tidak tahu. Biar saya mengkaji dahulu apa yang berlaku," ujarnya.

Advertisement