Anda di sini

Buah-buahan ‘selamatkan nyawa’ penangkap ketam

Advertisement
Mangsa semasa ditemui anggota penyelamat di rumah rakannya di Kampung Bukit Baki.
LEMAH:Mangsa semasa ditemui anggota penyelamat di rumah rakannya di Kampung Bukit Baki.

KUCHING: Seorang pengawal keselamatan yang dilaporkan hilang ketika menangkap ketam hanya makan buah-buahan hutan untuk menahan lapar selepas dua hari tersesat di dalam hutan.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berkata mangsa Wan Kamaruddin Wan Mohamad, 30, dilaporkan hilang oleh isterinya selepas kali terakhir dapat dihubungi Selasa lalu.

Menurutnya, mangsa keluar dari rumah dengan menunggang motosikal dan membawa bubu untuk menangkap ketam sekitar jam 4 petang Isnin lalu.

“Mangsa selepas itu tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi menyebabkan isterinya tampil membuat laporan polis sekitar jam 5.46 petang Selasa kerana risau akan keselamatan mangsa.

“Hari ini (semalam), APM menerima panggilan daripada sepupu mangsa sekitar jam 11.45 pagi dan memberitahu mangsa telah ditemui di rumah rakannya di Kampung Bukit Baki,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Tambahnya, mangsa yang ditemui anggota penyelamat memberitahu dia tersesat sejak Isnin dan hanya berjaya menemui jalan keluar semalam.

“Menurut keterangan mangsa, dia masuk ke dalam hutan pada hari Isnin namun gagal menemui jalan keluar dan hanya bergantung kepada buah-buahan hutan sepanjang dia tersesat.

“Sebaik sahaja berjaya keluar, mangsa kemudian terus membawa motosikal ke rumah rakannya di Kampung Bukit Baki untuk meminta bantuan makanan,” katanya.

Mangsa kemudian dihantar anggota APM ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Mangsa ditemui dalam keadaan lemah dan turut mengadu sakit di bahagian dada,” katanya.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa semalam turut disertai anggota  Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dan ahli keluarga mangsa.

  • oleh
  • Advertisement