Anda di sini

Bonus jika kekal dalam Liga Premier

Advertisement
 Hudson (kanan) meraikan jaringan kemenangannya bersama Bobby.
GEMBIRA: Hudson (kanan) meraikan jaringan kemenangannya bersama Bobby.

KUCHING: Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) Datuk Posa Majais tetap berpegang dengan janjinya akan menghadiahkan bonus kepada pemain dan pegawai pasukan itu jika Sarawak kekal dalam saingan Liga Premier tahun depan.

Katanya, sebagai suntikan moral pemain dan pegawai pasukan itu juga akan menerima bonus tambahan sebagai hadiah kemenangan menewaskan Terengganu II malam kelmarin.

“Saya tetap berpegang kepada janji akan memberi bonus istimewa kepada pemain dan pegawai jika Sarawak kekal dalam liga tahun depan,” katanya ketika ditemui semalam.

“Malah, mereka juga akan mendapat bonus tambahan sebagai hadiah kemenangan malam tadi (kelmarin),” tambah Posa namun enggan mengumumkan jumlah bonus yang akan diberikan.

Beliau juga berharap pemain dapat meneruskan momentum kemenangan dalam dua baki perlawanan sambil berharap nasib berbeza dialami pesaingnya, Kelantan untuk merealisasikan misi kekal dalam saingan liga musim depan.

“Tahniah kepada pemain atas kejayaan mengatasi Terengganu II dan saya harap rentak positif ini dapat diteruskan dalam dua baki perlawanan,” kata Posa lagi.

Sarawak menghidupkan peluang untuk kekal dalam saingan Liga Premier musim depan selepas menundukkan Terengganu II, 1-0 di Stadium Sarawak, Petra Jaya malam kelmarin.

Anak didik Mohd Denny Da’ail kini hanya dibezakan satu mata dengan pesaing terdekat, Kelantan yang tewas 1-3 kepada PDRM dalam satu lagi perlawanan yang turut berlangsung malam kelmarin.

Mereka akan meneruskan kempen menentang Pulau Pinang pada 14 Julai ini di Stadium Bandaraya dan menutup kempen dengan melayan kunjungan Selangor United di Stadium Sarawak, Petra Jaya pada 20 Julai.

Penyerang import dari Brazil, Hudson Dias De Jesus muncul wira Ngap Sayot dengan menjaringkan gol pada minit ke-23 untuk menamatkan kemarau kemenangan Sarawak dalam sembilan perlawanan.

Beliau tidak mensia-siakan umpanan cantik Bobby Gonzales untuk menewaskan penjaga gawang pelawat, Mohd Shamirza Yusoff.

Tuan rumah berpeluang menambah jaringan pada minit ke-56 namun percubaan Mohamad Alif Hassan lemah dan mudah dipatahkan Shamirza.

Terengganu II semakin ghairah meningkatkan asakan memasuki 10 minit terakhir permainan dalam usaha mencari gol penyamaan.

Namun pertahanan Sarawak diketuai Pedro Henrique ampuh menahan deretan percubaan anak didik Tengku Hazman Raja Hassan.

Peluang terbaik skuad penyu muncul pada minit ke-82 namun penjaga gol Sarawak, Andy Nicholas Nipen cemerlang mematah percubaan penyerang import lawan, Akanni Sunday Wasiu.

  • oleh
  • Advertisement