Anda di sini

Ada air tapi cakap takda air

Advertisement
 

KUCHING: Maklumat berkaitan masalah bekalan air yang dihadapai penduduk Kampung Sebakau, Pulau Bruit, Daro tidak betul seperti yang didakwa seorang penduduk di situ. 

Perkara itu didedahkan Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom yang memberitahu, sebaik sahaja maklumat itu diterima, pihaknya telah turun ke rumah penduduk kampung berkenaan dan mendapat bekalan air ada seperti biasa. 

Sehubungan itu, beliau mengingatkan agar pemberi maklumat berkaitan masalah air agar memberi maklumat yang betul dan sahih.

"Saya beri anda satu contoh yang berlaku (Kampung Sebakau) di Pulau Bruit, pemberi maklumat ini tidak tinggal di sana tetapi di Sibu apabila pegawai saya pergi ke rumahnya (di Pulau Bruit) memeriksa dan membuka kepala paip mendapati ada air. 

"Jadi ini bukan tanggungjawab kementerian dan agensi kerajaan sahaja tetapi kita semua kalau beri maklumat biarlah betul dan sahih kerana semua maklumat yang diadukan kepada kita akan diambil tindakan tetapi demi kebaikan bersama berilah maklumat yang tepat," tegasnya.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri di bawah pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS) sedang melaksanakan dua pakej projek bagi meningkatkan kapasiti bekalan air di Sarikei daripada 8.5 juta liter sehari (MLD) kepada 18 MLD.

Malah, Rundi menambah, beliau telah mengingatkan agar setiap kakitangan dan pegawai agensi bertanggungjawab berkaitan bekalan air negeri mengambil tindakan setiap aduan dan maklumat yang disalurkan kepada pihaknya. 

"Mana-mana aduan mesti kita ambil tindakan tetapi mestilah beri maklumat yang sahih," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mendedahkan kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak sedang melaksanakan projek bekalan air melibatkan dua pakej untuk meningkatkan kapasiti air di Sarikei. 

"Pulau Bruit menerima bekalan air dari Sarikei iaitu 8.5 MLD dan ini memang tidak mencukupi.

"Tetapi kita sudah melaksanakan dua pakej projek untuk Pulau Bruit yang memakan tempoh masa dua tahun selepas siap penghujung 2020 kita dapat tingkatkan kapasiti air di Sarikei dari 8.5 MLD kepada 18 MLD sekali gus dapat menyelesaikan masalah air di Pulau Bruit," katanya.

Malah, Rundi menjelaskan apabila siapnya dua pakej itu kelak, ia bukan sahaja menyelesaikan isu masalah bekalan air di Pulau Bruit tetapi juga kawasan sekitarnya.

Selain itu, beliau berkata, projek mega bekalan air yang merangkumi lapan pakej berjalan dengan baik. 

Pada 8 Julai lalu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sebakau, Pulau Bruit Razali Ali menerusi laporan yang disiarkan Bernama berkata, kira-kira 2,000 penduduk kampung mengalami masalah bekalan air sejak awal tahun ini.

"Kadang-kala bekalan air terputus untuk beberapa hari dan kembali pulih seperti biasa hanya pada sebelah malam dan kami terpaksa menakung air untuk kegunaan seharian.

"Semasa ketiadaan air kami juga terpaksa membeli air minuman dalam botol untuk diminum dan masak dan mandi di parit berdekatan ladang," katanya.

Seorang lagi penduduk, Nasir Musel, 60, memberitahu tujuan beliau mengetengahkan isu masalah bekalan air di Kampung Sebakau, Pulau Bruit bukanlah untuk menyalahkan mana-mana pihak tetapi untuk memaklumkan kepada pihak berkaitan tentang masalah tersebut.

"Sebelum bulan puasa, bekalan air dari paip mula berkurangan disebabkan tekanan rendah. Saya telah menghubungi Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dan bekalan air kembali pulih," jelasnya.

  • oleh
  • Advertisement