Anda di sini

Wanita China bebas pertuduhan miliki dadah

Yuan Xi bersama peguamnya semasa berada di Kompleks Mahkamah Kuching.
Yuan Xi bersama peguamnya semasa berada di Kompleks Mahkamah Kuching.

KUCHING: Seorang pegawai perhubungan awam warganegara China dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan tertuduh memiliki beberapa jenis dadah berbahaya pada April lalu.

Majistret Zubaidah Sharkawi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Yuan Xi di akhir kes pendakwaan.

Tertuduh yang datang bercuti di Malaysia, didakwa dalam dua kes berasingan dengan tiga pertuduhan bagi setiap kes.

Bagi kes pertama, tertuduh didakwa memiliki 0.04 gram Nimetazipam, 8.2 gram Ketamine dan 6.7 gram ganja.

Manakala bagi kes kedua, dia didakwa memiliki 28.3 gram 3,4-Methylenedioxyamfetamina (MDA), 10.4 gram Ketamine dan 0.2 gram Methamphetamine.

Bagi kesalahan memiliki Nimetazipam dan Ketamine, dia didakwa di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta tersebut, yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM100,000 atau kedua-duanya.

Manakala bagi kesalahan memiliki MDA, dia didakwa di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun serta sebatan tidak kurang tiga kali dan tidak lebih daripada sembilan kali.

Bagi pertuduhan memiliki ganja dan Metamfetamina pula, dia telah didakwa mengikut Seksyen 6 (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6 akta sama, yang boleh membawa denda maksimum RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, kesemua kesalahan tersebut dilakukannya pada 17 April 2018, pukul 7.30 malam di sebuah pusat hiburan di Jalan Tun Jugah.

Peguam Yuan Xi iaitu Steven Beti dan Gerald Donald berkata, semasa kejadian berlaku, tertuduh ditangkap di luar bangunan sedangkan dadah berkenaan dijumpai di bilik stor dan diletakkan di dalam lokar.

Bilik berkenaan pula merupakan bilik bersama yang digunakan oleh beberapa pekerja pusat hiburan berkenaan. 

Namun, hanya tertuduh yang ditahan pada ketika itu sedangkan beberapa pekerja lain tidak didakwa dan tidak diarahkan untuk memberi keterangan. 

Bagi kes ini, pihak pendakwaan yang terdiri daripada Timbalan Pendakwa Raya Danial Ilham Kamaruddin dibantu oleh Pegawai Pendakwa Asisten Superintenden (ASP) Rogayah Rosli telah memanggil seramai enam saksi untuk memberikan keterangan.