Anda di sini

Seks luar tabii: Lelaki mengaku tidak salah

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan melakukan seks diluar tabii terhadap seorang remaja perempuan.

Hakim Noor Hafizah Mohd Salim mendengar pertuduhan, tertuduh Mohammad Said Hafeez Safran, 19, didakwa memasukkan jarinya ke dalam kemaluan mangsa yang berusia 16 tahun.

Tertuduh melakukan kesalahan itu tanpa kerelaan mangsa, pada 3 Julai jam 8.50 malam di dalam bilik sebuah motel, daerah Papar.

Sabit salah mengikut Seksyen 377 CA Kanun Keseksaan, boleh dikenakan penjara antara lima hingga 20 tahun dan sebat.

Timbalan Pendakwaraya Megat Mahathir Megat Tharih Affendi tidak mencadangkan ikat jamin diberikan kerana kesalahan yang dilakukan serius.

Namun peguam Bartholomewo Jingulam memohon anak guamnya diberikan jaminan, kerana ayah tertuduh sedang menjalani rawatan kimoterapi akibat penyakit kanser tahap empat.

Megat membalas jika mahkamah membenarkan, pihaknya mencadangkan ikat jamin sebanyak RM20,000 diberikan.

Bagaimanapun pihak pembelaan memohon jumlah itu dikurangkan kepada RM5,000 dan menyatakan tertuduh hanya berniaga air minuman sebelum ditangkap, namun kini hanya ibunya yang bekerja.

Noor Hafizah memberikan ikat jamin sebanyak RM5,000 kepada tertuduh dan ibu bapanya sebagai penjamin, jika gagal membayar jaminan akan terus direman mengikut Seksyen 259 Kaedah Tatacara Jenayah.

Mohammad Said juga diperintahkan melaporkan diri di Balai Polis Papar dua kali sebulan dan dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan.

Pengurusan kes ditetapkan pada 26 Julai dan tarikh perbicaraan 18 hingga 19 November.