Anda di sini

Miliki tenggiling hidup: Waran tangkap terhadap tertuduh

Advertisement

KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen di sini, menetapkan semakan waran tangkap pada 22 Ogos terhadap seorang lelaki yang didakwa memiliki haiwan liar yang dilindungi tanpa kebenaran sah.

Hakim Elsie Primus membuat keputusan itu terhadap Mastag A. Natsir, 26, yang tidak diwakili peguam selepas gagal hadir didalam prosiding mahkamah pada Khamis.

Tertuduh didakwa memiliki seekor tenggiling hidup spesies Malayan Pangolin, pada 26 Oktober 2017 jam 1.25 petang di parkir kereta, Anjung Selera, Tanjung Lipat Likas di sini.

Atas kesalahan itu, Mastag didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dibaca bersama Seksyen 41 (4) enakmen sama, dihukum mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hukuman yang diperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara selama tempoh lima tahun, atau kedua-duanya.

Terdahulu Pegawai Pendakwa Abdul Karim Dakog dari Jabatan Hidupan Liar Sabah memberitahu, pihaknya dimaklumkan bahawa ayah tertuduh berjaya ditemukan dan menyatakan anaknya sekarang ini bekerja di sebuah kilang di Puchong, Selangor.

"Ayah tertuduh memberikan dua nombor telefon kepada pegawai penyiasat dan tertuduh sudah dihubungi untuk menyerah diri pada hari ini," katanya.

Sebelum ini rakan tertuduh Mohd Haffiz Jalan, 28, dikenakan penjara setahun dan denda RM50,000 atau penjara setahun, selepas mengaku salah atas pertuduhan itu.

  • oleh
  • Advertisement