Anda di sini

Masuk secara haram: Lima nelayan Vietnam kena empat bulan, satu sebat

Advertisement

KOTA KINABALU: Lima nelayan warga asing yang memasuki perairan negara ini tanpa permit yang sah, dikenakan penjara empat bulan dan satu sebat oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Azreena Aziz menjatuhkan hukuman itu terhadap Truong Thanh Truong, 39, Phi Van Tan, 37, Nguyen Van My, 29, Nguyen Tan Dat, 30, dan Nguyen Van Vinh, 30, selepas mereka mengaku salah.

Pada 30 Jun jam 10 pagi, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kudat, menahan sebuah bot nelayan asing Vietnam di perairan Pulau Sibongor Laut, Pulau Banggi.

Seorang tekong dan empat kru vesel ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Hasil siasatan lanjut, mereka tidak mempunyai pas yang sah untuk memasuki dan berada di negara ini.

Hukuman yang diperuntukkan, denda maksimum RM10,000 atau penjara selama tempoh lima tahun dan boleh dikenakan tidak melebihi enam sebat.

Selesai menjalani tempoh pemenjaraan itu, semua tertuduh diperintahkan dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Dalam mahkamah berasingan, kelima-lima tertuduh juga berhadapan dengan pertuduhan menangkap hasil perikanan di negara ini tanpa permit yang sah.

Bagaimanapun mereka yang didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Perikanan 1952, tiada diambil pengakuan.

Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus menetapkan sebutan semula kes pada 6 Ogos terhadap semua tertuduh.

Pegawai pendakwa dari Maritim Malaysia melakukan kedua-dua pendakwaan terbabit, sementara semua tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement