Anda di sini

MAGB, Khazanah bekerjasama memulihkan prestasi MAB: PM

Advertisement
 Dr Mahathir berkata kerajaan akan memastikan nama Malaysia dikekalkan dalam membuat sebarang keputusan berhubung pelan pemulihan Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines). — Gambar Bernama
USAHA BERSEPADU: Dr Mahathir berkata kerajaan akan memastikan nama Malaysia dikekalkan dalam membuat sebarang keputusan berhubung pelan pemulihan Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines). — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Malaysia Aviation Group Bhd (MAGB) kini bekerjasama dengan Khazanah Nasional Bhd untuk menggubal semula strategi serta menilai semua pilihan strategik untuk memulihkan prestasi syarikat penerbangan Malaysia Airlines Bhd (MAB).

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata MAGB sedang melaksanakan usaha bersepadu untuk mengurangkan kerugian melalui peningkatan pendapatan dan inisiatif rasionalisasi kos, manakala MAB kini giat meneroka pelbagai peluang strategik serta rangkaian kerjasama yang mampu membawa kebaikan kepada syarikat penerbangan tersebut.

“Kerajaan juga terbuka dan mengalu-alukan sebarang cadangan daripada mana-mana pihak bagi menyelamatkan Malaysia Airlines, termasuk pembelian oleh sektor swasta,” katanya pada sesi pertanyaan lisan sidang Dewan Rakyat, di sini semalam.

Perdana Menteri diminta oleh Datuk Seri Mustapa Mohamed (PH-Jeli) untuk menyatakan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan bagi memulihkan prestasi MAB serta sejauh manakah keberkesanannya sehingga ke hari ini.

Mengenai kerjasama antara MAB dan Japan Airlines (JAL), Tun Mahathir berkata satu memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani pada 27 Mei 2019 merangkumi kerjasama antara Malaysia dan Jepun dalam perkhidmatan penumpang MAB dan JAL, serta laluan domestik seterusnya yang akan menghubungkan perkhidmatan antarabangsa.

“Di samping itu, kedua-dua syarikat penerbangan ini juga akan bekerjasama dalam skop yang lebih luas, seperti berkongsi amalan terbaik, meneroka kerjasama dalam bidang lain seperti perkhidmatan kargo dan sama-sama membangunkan sektor pelancongan di pasaran Malaysia dan Jepun,” katanya.

Kerjasama ini dijangka bermula pada 2020, namun tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan di Malaysia dan Jepun.

Melalui kerjasama ini, Perdana Menteri berkata Malaysia bakal mendapat pelbagai manfaat ekonomi, termasuk memperkukuh hubungan perdagangan dengan Jepun, potensi untuk meningkatkan sektor perdagangan dan pelancongan serta mempromosi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebagai hab perjalanan udara.

“Selain itu, penumpang juga akan mendapat lebih banyak pilihan, perhubungan yang lebih baik dan secara keseluruhannya perkhidmatan pelanggan yang lebih baik,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan Mustapa mengenai langkah-langkah yang boleh diambil oleh kerajaan dalam menyelesaikan masalah dalam MAB, Tun Mahathir berkata sudah terdapat banyak usaha yang dilakukan oleh kerajaan untuk memulihkan prestasi MAB, namun menemui kegagalan.

“Pengurusan-pengurusannya (MAB) telah ditukar berkali-kali, masing-masing berjanji mereka dapat memulihkan semula syarikat penerbangan ini, tetapi malangnya semua tidak dapat mengatasi masalah-masalah yang dihadapi oleh MAB.

“Disebabkan itu, hari ini kita berhadapan dengan kemungkinan (syarikat) penerbangan ini dihentikan sama sekali, supaya kita dapat menjimatkan wang yang banyak (yang telah dilaburkan) untuk pemulihannya,” katanya.

Kerajaan juga katanya sanggup mendengar pendapat lain mengenai kaedah untuk memulihkan semula MAB, termasuk cadangan pengambilalihan MAB, sama ada menerusi pembelian mutlak atau kerjasama dengan syarikat-syarikat penerbangan lain. — Bernama

Advertisement