Anda di sini

Lakukan seksual: Datuk saudara ketahui nasib 24 Julai

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan yang didakwa melakukan kesalahan seksual terhadap cucunya, akan mengetahui nasibnya pada 24 Julai di Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Azreena Aziz menetapkan tarikh itu terhadap tertuduh yang berusia 41 tahun, selepas mendengar hujah pada peringkat akhir kes pendakwaan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam akan mengetahui kelak sama ada dipanggil membela diri atas pertuduhan terbabit, atau sebaliknya dibebaskan.

Tertuduh didakwa menyentuh mana-mana bahagian tubuh mangsa yang berusia 13 tahun 10 bulan, pada 9 Disember tahun lalu jam 6.45 pagi di sebuah bilik tidur taman perumahan, Jalan Sepanggar, Manggatal di sini.

Sabit salah mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, boleh dikenakan penjara selama tempoh 20 tahun dan sebat.

Ketika Azreena menyoal tertuduh berapa bilangan saksi yang akan dipanggilnya kelak, tertuduh mengatakan hanya dirinya yang akan memberikan keterangan.

Pada 19 Disember tahun lalu tertuduh didakwa atas pertuduhan itu dan mengaku tidak bersalah.

Sepanjang perbicaraan kes pada peringkat pendakwaan, seramai enam saksi dipanggil oleh Timbalan Pendakwaraya Dinesh Raja.

Sementara menunggu kes selesai, tertuduh diperintahkan terus direman mengikut Seksyen 259 Kaedah Tatacara Jenayah.