Anda di sini

KPKT teliti bina rumah mampu milik di tanah ditawar kerajaan Sarawak

Advertisement
ZURAIDA - Gambar fail Bernama 

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan meneliti kesesuaian cadangan pembinaan rumah mampu milik di 13 bidang tanah yang ditawarkan kerajaan negeri Sarawak.

Menteri berkenaan, Zuraida Kamaruddin berkata pihaknya tiada sebarang masalah menerima cadangan kerajaan negeri Sarawak namun pembinaan projek itu tertakluk kepada kesesuaian lokasi tanah itu.

“Ia mesti strategik dan terletak di dalam kawasan yang ada infrastruktur, kalau tidak ia akan membebankan kos sara hidup golongan B40 yang memiliki rumah dalam kawasan ini. 

“Sekiranya tidak sesuai, kita akan maklumkan kepada kerajaan negeri dan mungkin kerajaan negeri boleh gantikan dengan tapak tanah yang lain,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) mengenai kesediaan kerajaan menerima tawaran kerajaan negeri untuk membina perumahan mampu milik.

Zuraida berkata pihaknya menerima surat kerajaan negeri berhubung senarai 13 bidang tanah berkenaan pada 3 Julai lalu.

Dalam perkembangan lain, menteri itu berkata kementerian telah menubuhkan satu jawatankuasa bagi mengkaji tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap kilang yang melakukan pembuangan plastik haram.

Zuraida menjawab soalan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) yang ingin tahu adakah kerajaan bersetuju menubuhkan jawatankuasa bagi menangani masalah pembuangan plastik haram. - Bernama 

Advertisement