Anda di sini

MPOB raih royalti pindah teknologi sehingga RM6 juta

Advertisement

BANGI: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah menerima royalti berjumlah RM5 juta hingga RM6 juta setahun bagi 651 pemindahan teknologi (TOT) yang boleh digunakan dalam pengkomersialan minyak sawit.

Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Pembangunan) MPOB Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, kadar pengkomersialan TOT sebanyak 30 peratus juga jauh lebih tinggi berbanding kadar purata industri antara 5-10 peratus.

“Kami menggunakan royalti yang diterima itu untuk membayar penyelidik atas usaha gigih mereka selain menggalakkan mereka menghasilkan lagi teknologi bermanfaat untuk industri itu,” katanya kepada pemberita selepas program Seminar dan Pameran TOT MPOB 2019 di sini, semalam.

MPOB telah mempatenkan sebanyak 357 teknologi dan melancarkan 174 perkhidmatan dengan kadar pengkomersialan teknologi yang dipaten mencecah 28 peratus tahun lepas.

Sementara itu, Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim dalam ucapan perasmian seminar itu berkata MPOB hari ini memperkenalkan masing-masing 16 teknologi dan lima perkhidmatan baharu.

Menurutnya, teknologi dan perkhidmatan itu akan dikategorikan mengikut subsektor industri seperti perlindungan tanaman, bioteknologi tanaman, penapisan dan pemprosesan, makanan haiwan, oleokimia dan formulasi makanan.

“Kami menggalakkan peserta industri untuk melaksanakan teknologi dan inovasi ini dalam kegiatan perniagaan masing-masing manakala kerajaan akan terus menyediakan sokongan persekitaran bagi mengkomersialkan teknologi baharu untuk meningkatkan produk minyak sawit.

“Dalam jangka panjang, ini akan terus meningkatkan daya saing serta daya tahan industri minyak sawit di peringkat global,” katanya.

Beliau berkata, aplikasi bukan makanan bagi industri minyak sawit merupakan bidang baharu yang penting dan perlu diterokai oleh pihak industri.

“Biobahan api, biojisim, makanan haiwan dan bahan binaan seperti poliuretana, kosmetik dan produk penjagaan diri mempunyai potensi komersial yang besar, malah sudah ada beberapa pemain industri minyak sawit yang mencatat pencapaian dalam bidang baharu itu.

“Penduduk dunia yang semakin bertambah dan peningkatan permintaan makanan adalah faktor yang menyokong asas kenaikan harga komoditi makanan,” katanya.

Dalam pada itu, MPOB turut melancarkan dua aplikasi mudah alih terkini iaitu Pangkalan Data Maklumat SawitSecure dan Ganoderma (GanoID), semalam.

SawitSecure adalah aplikasi biosekuriti minyak sawit mudah alih bagi industri itu yang direka sebagai platform akses terhadap sumber dan maklumat komprehensif lebih 600 serangga dan haiwan perosak, penyakit dan rumpai sawit daripada 44 negara penanaman sawit.

Selain itu, GanoID pula merupakan platform untuk berkongsi maklumat terkini yang menjadi asas penubuhan model unjuran penyakit berskala besar berdasarkan data geografi untuk tujuan pencegahan penyakit dari peringkat awal.

GanoID memberi manfaat kepada mereka yang melakukan penyelidikan aktif terhadap Ganoderma, terutamanya usaha mengenal pasti spesies dan kawasan alam sekitar serta morfologi yang berkaitan. — Bernama

Advertisement