Anda di sini

Komited jaga perairan

 Robert (kanan) melihat hasil tangkapan ikan yang ‘dicuri’ dari perairan negara.
TUMPAS: Robert (kanan) melihat hasil tangkapan ikan yang ‘dicuri’ dari perairan negara.

KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan empat bot nelayan asing yang disyaki mencuri hasil laut dalam di perairan negara berdekatan Tanjung Sirik pada Ahad lalu

Laksamana Pertama Maritim Sarawak Robert Teh Geok Chuan berkata, kejayaan itu adalah hasil aduan awam berhubung pencerobohan bot-bot nelayan asing tersebut.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati tekong dan awak-awak di atas keempat-empat bot tersebut yang dipercayai warganegara Vietnam gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kesemua mereka (tekong dan awak-awak) adalah seramai 58 orang yang dipercayai warga Vietnam berusia lingkungan 17 hingga 55 tahun.

“Pemeriksaan lanjut turut menemui 13 tan pelbagai jenis ikan dan hasil rampasan keseluruhan termasuk nilai empat bot serta peralatan menangkap ikan dianggarkan melebihi RM6 juta,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung kejayaan tersebut di Jeti Kompleks Maritim Tun Ahmad Salahuddin, Muara Tebas dekat sini, semalam.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985, katanya.

“Jika sabit kesalahan, tekong boleh didenda RM1 juta atau penjara sehingga dua tahun, manakala anak kapal boleh didenda RM100,000 setiap seorang atau penjara sehingga dua tahun dan dilucutkan hak ke atas vesel (bot) berkenaan,” jelasnya.

Robert turut menegaskan pihaknya komited dalam membanteras sebarang pencerobohan oleh nelayan asing di perairan negara.

“Maritim Malaysia sentiasa berusaha melaksanakan rondaan secara berterusan bagi membanteras kegiatan pencerobohan yang mencuri hasil laut negara.

“Sama seperti agensi keselamatan laut lain, kami sentiasa berusaha meningkatkan kawalan keselamatan dan rondaan operasi penguatkuasaan undang-undang bagi memastikan keselamatan pengguna yang berada di perairan negara terjamin,” tegasnya.

Selain itu, beliau amat berharap kerjasama orang ramai agar segera menyalurkan maklumat mengenai pencerobohan atau sebarang aktiviti mencurigakan di perairan negara.

“Pusat Operasi APMM Sarawak boleh dihubungi di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya.