Anda di sini

Kawal aturan sedia ada terlalu sukar untuk syarikat pemula niaga

 Redzuan (dua, kiri) ketika melancarkan Program SME Rakan Kongsi Pelaburan di SME Corporation Malaysia (SME Corp), KL Sentral semalam. Turut hadir (dari kiri) Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Pengerusi SME Corp Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Noor Azmi Mat Said. — Gambar Bernama
LANCAR: Redzuan (dua, kiri) ketika melancarkan Program SME Rakan Kongsi Pelaburan di SME Corporation Malaysia (SME Corp), KL Sentral semalam. Turut hadir (dari kiri) Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Pengerusi SME Corp Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Noor Azmi Mat Said. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Peraturan sedia ada bagi menyokong pembangunan usahawan terlalu ketat dan mengambil masa yang lama, menyebabkan negara kehilangan bakat kepada negara luar.

Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata bagi menangani isu itu, kementerian berkenaan akan menyemak semula peraturan sedia ada, terutama dari segi pembiayaan yang diperlukan oleh syarikat pemula niaga terbabit.

“Syarikat ini memerlukan ruang untuk berkembang, namun peraturan mengekang mereka.

 “Kami sudah mula berbincang dengan beberapa agensi dan berharap dapat membawa balik usahawan tempatan yang sudah beroperasi di luar negara untuk kembali dengan menyediakan persekitaran yang diperlukan untuk mereka berkembang,” katanya pada taklimat  media selepas mengumumkan pembiayaan alternatif kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pembiayaan menerusi Warisan Quantum Management Sdn Bhd dan RHL Ventures Sdn Bhd itu berjaya mengumpul RM50 juta dana. SME Corp akan menambah RM40 juta lagi kepada pembiayaan itu.

Program ini merupakan inisiatif pembiayaan bersama kerajaan dan sektor swasta menerusi SME Investment Partner (SIP), bagi meningkatkan pembiayaan untuk PKS dengan menyediakan laluan untuk pelabur swasta.

Redzuan juga berkata dana itu adalah untuk syarikat pemula niaga yang sudahpun mempunyai pemodalan pasaran dan memerlukan pembiayaan untuk berkembang.

“Ini juga melengkapkan landskap pembiayaan sedia ada untuk PKS menerusi penawaran ekuiti dan pembiayaan hutang bagi memenuhi kepeluan pembiayaan PKS, pembiayaan sebahagian besar PKS peringkat awal antara satu dan dua tahun beroperasi.

“Ini merupakan sebaran yang lebih baik bebanding pembiayaan modal teroka sedia ada yang sebahagian besarnya untuk syarikat berasaskan teknologi,” katanya.  — Bernama