Anda di sini

Usaha pendigitalan dipercepat

Advertisement
 Abang Johari mencuba cermin mata khas di reruai SMA selepas menyempurnakan Majlis Perasmian IDECS 2019 di BCCK, semalam. — Gambar Muhammad Rais Sanusi
INOVATIF: Abang Johari mencuba cermin mata khas di reruai SMA selepas menyempurnakan Majlis Perasmian IDECS 2019 di BCCK, semalam. — Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Makmal Terbuka akan ditubuhkan di negeri ini untuk menerokai dan melakukan penyelidikan ke atas inisiatif-inisiatif digital baharu bagi menyokong pembangunan ekonomi digital Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, bagi menubuhkan Makmal Terbuka itu, Sarawak menerusi Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) akan menandatangani 10 memorandum persefahaman (MoU) dengan pelbagai pemain teknologi digital antarabangsa.

Beliau berkata, MoU itu akan membolehkan kerjasama antara SMA dan pemain-pemain teknologi digital antarabangsa untuk membangunkan sektor ekonomi digital Sarawak.

“Kita menandatangani MoU dengan pemain-pemain teknologi digital antarabangsa esok (hari ini) bagi mempercepatkan lagi usaha kita ke arah ekonomi digital.

“Esok (hari ini) sepuluh MoU antara SMA dan pelbagai rakan usaha antarabangsa akan ditandatangani (di sini). MoU ini berkaitan pembangunan ekonomi digital Sarawak.

“Rakan-rakan usaha sama ini akan membantu kita dalam Makmal Terbuka untuk menerokai dan melakukan penyelidikan mengenai inisiatif-inisiatif baharu yang menyokong ekonomi digital Sarawak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2019 di Pusat Konvenyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Pelancongan, Kesenian, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian dan menteri-menteri kabinet negeri yang lain.

Abang Johari berkata, satu Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan dimeterai antara SACOFA dan Datastream Technology Sdn Bhd (DST) dari Brunei Darussalam berhubung penyediaan perkhidmatan Internet runcit berkelajuan tinggi di Sarawak.

SACOFA juga katanya, akan menandatangani MoU dengan XPERANTI bagi membolehkan dua entiti itu bekerjasama dalam menyediakan penyelesaian kepada Internet Benda (IoT) di Sarawak.

“Sebelum ini saya telah menyatakan beberapa pelan tindakan awal yang ketika ini di peringkat pelaksanaan untuk memulakan usaha ke arah ekonomi digital. Banyak lagi yang akan dilakukan tahun ini dan tahun-tahun mendatang,” katanya.

Abang Johari berkata, Sarawak telah memulakan usaha ke arah ekonomi digital sejak beliau dilantik sebagai Ketua Menteri keenam pada 13 Januari 2017.

Bermula dari detik itu katanya, Sarawak merencana strategi serta pelan tindakan yang ketika ini masih di peringkat awal pelaksanaannya.

“Saya sedia maklum kritikan terhadap visi saya untuk membawa Sarawak ke (era) ekonomi digital. Saya mahu mengatakannya sekali lagi, visi bukan suatu yang kita semua boleh diambil mudah.

“Harap bersabar (dengan saya) kerana kita (Sarawak) akan melaksanakan projek-projek ekonomi digital dengan tadbir urus yang betul.

“Kita tidak boleh melakukan kesilapan dalam ‘perjalanan’ ini dan dengan restu Tuhan rakyat akan mendapat manfaat daripada usaha kita. Insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Sarawak telah melaksanakan sistem pengenalan dan pengesahan dikenali ‘Sarawak ID’ bagi membolehkan rakyat negeri ini mengekses serta menggunakan pelbagai perkhidmatan dalam talian atau sistem aplikasi kerajaan Sarawak.

Sehingga 1 Julai 2019 katanya, jumlah pengguna ‘Sarawak ID’ berdaftar ialah 208,644 dan 20 perkhidmatan kerajaan juga dalam talian dengan pengguna ‘Sarawak ID’ berdaftar mendapat manfaat daripada ekses yang fleksibel serta mudah kepada perkhidmatan-perkhidmatan ditawarkan.

“‘Sarawak ID’ adalah langkah pertama ke arah perkhidmatan, kerajaan mesra rakyat, rakyat mengetahui kerajaan menerusi perkhidmatan ditawarkan bukan fungsi-fungsi jabatan.

“Pada masa akan datang beberapa siri perkhidmatan yang lebih inovatif, penglibatan, peribadi dan lancar juga akan diperkenalkan,” jelasnya.

Mengenai e-dagang, Abang Johari berkata kerajaan Sarawak telah melaksanakan aplikasi e-dompet dikenali ‘Sarawak Pay.’

“Sehingga 30 Jun 2O19, jumlah pengguna bendaftar (menggunakan ‘Sarawak Pay’) ialah 91,640 dengan jumlah transaksi dan tambah nilai berjumlah RM35 juta. Kita menyasar seramai 150,000 pengguna menjelang hujung tahun ini,” katanya.

IDECS 2019 merupakan penganjuran edisi ketiga dengan tema ‘Membayangkan Masa Depan Sarawak.’ Kali pertama IDECS diadakan ialah pada 2017 diikuti edisi kedua pada 2018.

  • oleh
  • Advertisement