Anda di sini

Turunkan harga siling tiket penerbangan kepada pelajar Sabah

Advertisement
VIVIAN WONG
VIVIAN WONG

SANDAKAN: Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee komited membawa isu yang banyak didengarinya dan menjadi keluhan kepada pelajar berhubung tambang udara domestik yang tinggi semasa musim perayaan ke Dewan Rakyat.

Beliau juga telah meminta jawapan daripada Menteri Pengangkutan berhubung langkah yang efektif untuk manangani masalah itu.

Vivian berkata selain menimbangkan harga siling untuk tiket penerbangan terutamanya pada musim perayaan, pihak kerajaan juga diharap dapat bekerjasama dengan syarikat penerbangan untuk menjalankan tanggungjawab sosial seperti memperkenalkan diskaun tiket penerbangan kepada pelajar yang sedang melanjutkan pelajaran mereka di luar Sabah.

Beliau mencadangkan jika para pelajar dapat menerima ehsan daripada syarikat penerbangan dan mendapatkan diskaun 50 peratus daripada jumlah harga tiket penerbangan setiap tahun, ia juga akan dapat membantu mengurangkan beban keluarga mereka khasnya pelajar dari keluarga berpendapatan rendah.

"Pada dua minggu yang lepas, ada seorang pelajar perempuan datang ke pejabat saya untuk mendapatkan pertolongan untuk membeli tambang tiket kapal terbang ke Kuala Lumpur bagi menyambung pengajiannya untuk semester terakhir.

“Saya dimaklumkan bapa pelajar itu merupakan seorang nelayan dan dari keluarga golongan B40. Ia amat menyedihkan saya kerana harga tiket yang agak mahal," katanya.

Dalam pada itu, bagi masalah tambang udara domestik yang tinggi semasa musim perayaan, Vivian juga meminta Menteri Pengangkutan menyatakan berapa efektif langkah penerbangan tambahan bagi menurunkan tambang udara domestik semasa musim perayaan yang diumumkan pada Ogos 2018 dengan statistik terkini; dan apakah pelan lain untuk terus mengurangkan tambang udara domestik yang tinggi dan berterusan pada musim puncak.

Menteri Pengangkutan Dato' Kamarudin Jaffar berkata kementeriannya telah mendapatkan komitmen syarikat-syarikat penerbangan untuk menambah jumlah penerbangan semasa Tahun Baharu Cina tahun ini dan telah memperluaskan pelaksanaannya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, Hari Gawai dan Pesta Kaamatan baru-baru ini.

Beliau mengambil perayaan Tahun Baharu Cina tahun ini sebagai contoh, di mana jumlah penerbangan berjadual tambahan yang telah diluluskan oleh Suruhanjaya Penerbangan Awam Malaysia (MAVCOM) adalah sebanyak 376, menjadikan jumlah keseluruhan penerbangan sebanyak 2,050 berbanding tahun lepas iaitu sebanyak 1,674.

Susulan daripada penambahan penerbangan itu, harga tiket penerbangan secara puratanya telah menurun dari 19.8 peratus sehingga 57 peratus berbanding tempoh musim perayaan yang sama pada tahun 2018, bergantung kepada waktu tempahan tiket dibuat.

Sementara, semasa Pesta Kaamatan, Hari Gawai dan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, jumlah penerbangan berjadual telah meningkat sebanyak 864 menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 5,240 berbanding tahun lepas iaitu sebanyak 4,376.

Susulan daripada penambahan penerbangan itu, harga tiket penerbangan bagi tujuh daripada 10 laluan yang dipantau oleh MAVCOM secara puratanya telah menurun dari 12.7 peratus sehingga 74.9 peratus berbanding tempoh musim perayaan yang sama pada tahun 2018, bergantung kepada waktu tempahan tiket dibuat.

Bagaimanapun, terdapat tiga laluan yang menunjukkan kenaikan harga tambang semasa Pesta Kaamatan, Hari Gawai dan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, berbanding tempoh yang sama tahun 2018.

Laluan-laluan itu adalah Kuala Lumpur–Sandakan, Kuala Lumpur–Tawau dan Johor Bharu–Sibu, masing-masing dengan purata kenaikan sebanyak 10.48 peratus, 57.6 peratus dan 21.78 peratus.

Beliau menjelaskan situasi itu berlaku mungkin disebabkan oleh faktor ketidakseimbangan antara penawaran dan permintaan terhadap perkhidmatan penerbangan yang disediakan.

Sehubungan itu, pada musim perayaan yang akan datang, syarikat penerbangan akan diminta supaya menambah kekerapan penerbangan bagi laluan-laluan berkenaan.

Secara amnya, tawaran harga tiket penerbangan akan lebih murah sekiranya ia ditempah lebih awal.

Memandangkan langkah untuk mewujudkan penerbangan tambahan didapati berjaya mengurangkan harga tiket penerbangan khususnya pada musim perayaan, maka kerajaan akan terus mengguna pakai kaedah itu pada masa hadapan.

Pihak kementerian juga hanya akan mempertimbangkan semula cadangan untuk menetapkan harga siling dan harga lantai bagi tambang tiket penerbangan domestik sekiranya kaedah untuk menambah penerbangan tambahan tidak berjaya menyelesaikan masalah kenaikan harga tambang sempena musim perayaan.

Semasa menjawab soalan tambahan Vivian, Kamarudin berkata dalam konteks perniagaan terbuka yang sama, Syarikat Malaysia Airlines Berhad (MAB) telahpun menawarkan potongan harga 20 peratus kepada pelajar di seluruh negara dan dalam semua penerbangan domestik ataupun antarabangsa, dan ditambah lagi dengan bagasi lebih 10 kilogram.

Bukan sahaja pelajar tetapi keluarga pelajar dan sahabat pelajar juga diberikan potongan 20 peratus itu. Begitu juga mengenai penetapan harga.

Sementara penetapan harga siling atau lantai akhirnya tidak akan menguntungkan pengguna kerana kajian MAVCOM dalam kalangan negara yang mengamalkan penetapan harga, akhirnya harga purata sebenarnya akan menjadi lebih tinggi berbanding jika dasar untuk menetapkan harga itu tidak dilakukan.

  • oleh
  • Advertisement