Anda di sini

Lady Gaga antara artis wanita bakal jadi pengundi Oscar

Advertisement
 Gambar fail bertarikh 24 Februari 2019 ini menunjukkan Lady Gaga sebak melihat anugerah Oscar Lagu Asal Terbaik yang dimenangi olehnya untuk lagu ‘Shallow’ iaitu runut bunyi dalam filem ‘A Star Is Born’.  Lady Gaga adalah antara mereka yang diterima masuk ke dalam akademi filem yang memberi anugerah Oscar pada tahun ini. — Gambar Reuters
BAWA TUAH: Gambar fail bertarikh 24 Februari 2019 ini menunjukkan Lady Gaga sebak melihat anugerah Oscar Lagu Asal Terbaik yang dimenangi olehnya untuk lagu ‘Shallow’ iaitu runut bunyi dalam filem ‘A Star Is Born’. Lady Gaga adalah antara mereka yang diterima masuk ke dalam akademi filem yang memberi anugerah Oscar pada tahun ini. — Gambar Reuters

WANITA merangkumi separuh daripada kerabat diraja Hollywood yang diterima masuk ke dalam akademi filem yang memberi anugerah Oscar pada tahun ini, kata badan itu, dan Lady Gaga adalah antara mereka yang dijemput.

The Academy of Motion Picture Arts and Sciences mengeluarkan satu pusingan jemputan setiap tahun, dan sudah meningkatkan dengan signifikan pengambilan minoriti etnik dan wanita kebelakangan ini ekoran kritikan berhubung keahliannya yang kebanyakannya berkulit putih dan lelaki.

Lembaga gabenor tiga tahun lalu berjanji untuk menggandakan jumlah ahli-ahli wanita dan tidak berkulit putih menjelang 2020, ekoran seruan untuk memboikot acara anugerah Oscar yang gilang-gemilang serta tindak balas yang marah dalam media sosial di bawah hashtag #OscarsSoWhite.

Jemputan kepada 842 orang yang diumumkan minggu lepas termasuk wanita terkemuka seperti Claire Foy, Elisabeth Moss dan Gaga – yang memenangi anugerah bagi lagu asal terbaik untuk ‘A Star Is Born’.

Ia merupakan kali pertama pengambilan tahunan mencapai 50 peratus wanita, kata penganjur kepada AFP.

Jumlah wanita mengatasi jumlah lelaki di kalangan mereka yang diterima masuk ke dalam kategori pengarah yang secara tradisinya didominasi lelaki pada tahun ini, selain di kalangan penulis dan penerbit.

Ekoran kemasukan terbaharu, kadar ahli akademi wanita pada keseluruhannya akan meningkat kepada 32 peratus, daripada satu suku pada 2015.

Tidak sampai satu pertiga yang diterima masuk adalah orang bukan berkulit putih, yang bermakna akademi itu sudah mencapai matlamatnya untuk menggandakan keahlian bukan berkulit putih – walaupun dari ukuran rendah sebanyak lapan peratus sahaja pada 2015.

Rekrut termasuk pengarah ‘Crazy Rich Asians’ Jon Chu, aktres ‘Roma’, Marina de Tavira, dan dua pelakon ‘Black Panther”, Sterling K. Brown dan Letitia Wright.

“Terima kasih @TheAcademy, anda telah membuatkan saya amat gembira dengan penghormatan ini,” tweet de Tavira.

Pendatang baharu pada tahun ini menjangkau beberapa generasi, daripada bintang ‘Spider-Man’ berusia 23 tahun dari Britain, Tom Holland, hingga kepada pelakon legenda dari Perancis, Jean-Louis Trintignant, 88.

Dalam dunia muzik, dua penyanyi Adelwe dan Annie Lennox serta penerbit Mark Ronson adalah antara mereka yang dipilih bagi kerja mereka untuk mencipta skor filem.

Jemputan dihantar kepada ahli-ahli dari 59 buah negara, yang menambah kepada perisa akademi yang semakin global.

Organisasi itu “semakin kurang bersifat Amerika”, tulis wartawan dan penulis Mark Harris dalam Twitter.

Anjakan itu “akan mengubah pertandingan dalam lakonan/pengarahan/penulisan (Oscar) dengan cara yang besar pada tahun-tahun akan datang”, dia meramalkan.

Akademi itu sudah meningkatkan dengan drastik pengambilan keseluruhannya sementara ia bertindak untuk menyusun semula keadaan yang tidak seimbang dari segi jantina dan etnik.

Keahlian menurut tradisi dihadkan sekitar 6,000 ahli, tetapi akan melonjak dengan selesa ke atas 9,000 dengan penerimaan ahli terbaharu.

Jumlah ahli baharu turun sedikit berbanding 928 pada tahun lepas, tetapi masih kedua terbesar dalam sejarah akademi.

Ia termasuk ramai ahli yang lebih terkenal kerana kerja mereka jauh dari skrin besar, daripada pelakon TV seperti Moss, Foy dan bintang ‘Homeland’ Damian Lewis hingga kepada penulis ‘Gone Girl’ Gillian Flynn.

“Ia rasa bagi saya seakan-akan akademi ini sudah lupa bahawa gelaran leng-kapnya adalah Academy of Motion Picture Arts and Sciences,” tulis penulis kolum Hollywood Reporter, Scott Feinberg.

Kira-kira 21 pemenang anugerah Oscar menyertai keahlian tahun ini. Mereka yang dijemput untuk ikut serta biasanya akan menerimanya. — AFP

Advertisement