Anda di sini

Syarikat Jepun berminat melabur di Sabah

Advertisement
SHAFIE (duduk, kanan) dan Nikko (duduk, kiri) semasa mengadakan sidang akhbar.
SHAFIE (duduk, kanan) dan Nikko (duduk, kiri) semasa mengadakan sidang akhbar.

KOTA KINABALU: Beberapa syarikat pelaburan terkemuka dari Jepun menyatakan minat untuk melabur di negeri ini dalam pelbagai bidang termasuk pelancongan dan perhotelan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Haji Apdal berkata, pelabur itu mencadangkan pulau-pulau yang bersesuaian khususnya di Kota Kinabalu untuk menempatkan pelaburan mereka.

"Mereka mencadangkan Pulau Sulug untuk menempatkan pelaburan mereka dan akan menyediakan prasarana seperti hotel dan juga tenaga solar untuk membekalkan elektrik ke pulau itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat rombongan pelabur perindustrian terkemuka dari Jepun, diketuai syarikat Winoyu  Global Co Ltd di Bangunan PPNS, di sini pada Isnin.

Shafie berkata, pelabur Jepun itu akan menyediakan kewangan sendiri dan kerajaan negeri akan menyediakan tapak.

"Mereka mempunyai kemampuan untuk menyediakan kewangan sendiri dan kita hanya menyediakan tapak.

"Mereka dapati Sabah sebuah lokasi yang agak berdekatan dengan Jepun, malah sudah ramai pelancong Jepun datang ke sini," katanya.

Shafie berkata, pelaburan lain yang dinyatakan ialah minat mereka dalam perladangan telur ayam. Syarikat itu merupakan pembekalkan telur ayam terbesar di Jepun yang mempunyai hasil mencecah sehingga 400 bilion yen.

"Saya amat gembira melihat bagaimana untuk menarik minat mereka termasuk menyediakan satu tempat sektor peruncitan berhampiran lapangan terbang, seperti yang terdapat di Kuala Lumpur (Mitsui), di mana ramai pelancong yang datang untuk membeli barangan.

"Amat penting untuk kita pastikan supaya kemudahan ini dapat disediakan.

"Kita akan selami perkara ini secara mendalam untuk memastikan pelaburan ini dapat direalisasikan," katanya dan menambah, beliau akan mengadakan lawatan ke Jepun sama ada pada bulan Ogos atau September untuk menarik pelabur dari negara itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Wanoyu Co Ltd Nikko Doh berkata, mereka memilih Sabah untuk pelaburan kerana tertarik dengan keindahan lautan negeri ini.

"Sabah memiliki lautan yang paling indah, di samping negeri ini berdekatan dengan Jepun," katanya.

  • oleh
  • Advertisement