Anda di sini

SEDAR tekad tawan Sarawak PRN12

Advertisement
Othman (duduk, tiga kanan) pada sidang media selepas Kongres Utama Tahunan SEDAR yang pertama di sini malam Ahad.
Othman (duduk, tiga kanan) pada sidang media selepas Kongres Utama Tahunan SEDAR yang pertama di sini malam Ahad.


KUCHING: Parti Sedar Rakyat Sarawak (SEDAR) tekad mengambil alih kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 walaupun dilabel sebagai 'parti politik baharu' di negeri ini khasnya.

Presidennya Datuk Othman Abdillah berkata parti itu yang diluluskan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 28 Mei 2019 akan bertanding di kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN ke-12 nanti.

"Parti Sedar Rakyat Sarawak adalah sebuah parti politik bebas. Kami tidak ada pertalian atau hubungan dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Pakatan Harapan (PH).

"Kami akan bertanding di kesemua 82 kerusi DUN pada PRN ke-12 nanti. Kami akan menentang calon GPS dan PH dan kami mahu mengambil alih kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Kongres Umum Tahunan yang pertama bagi parti itu di sebuah hotel di sini, malam Ahad.

Othman berkata sebagai permulaan, parti itu akan menubuhkan cawangan di kesemua 82 kawasan DUN dan membuka pendaftaran keahlian menerusi dalam talian dalam tempoh seminggu lagi.

Tambahnya lagi, ramai calon bebas yang bertanding pada pilihan raya sebelum ini menyatakan hasrat menyertai SEDAR dan mahu bertanding menggunakan tiket parti itu pada PRN ke-12 nanti.

Bagaimanapun, ujarnya keputusan calon yang akan bertanding mewakili parti itu akan ditentukan oleh Majlis Kerja Tertinggi parti.

"Hala tuju parti apabila kami berjaya mengambil alih kerajaan negeri ialah membantu meringankan beban rakyat dengan memberi bantuan kewangan kepada rakyat negeri ini yang berusia 18 tahun dan ke atas.

"Bagi tujuan itu kita akan menubuhkan Tabung Hak Rakyat Sarawak dan sebagai permulaan kita akan memberi bantuan RM100 kepada setiap rakyat Sarawak berusia 18 tahun dan ke atas," katanya.

Menjelas lanjut, Othman berkata bagi mendapatkan sumber kewangan untuk tabung itu, SEDAR akan memfokus kepada sektor pertanian moden dan perusahaan.

"Kami mempunyai tanah yang luas boleh diusahakan dengan sektor pertanian moden. Kita akan menanam tebu, kelapa sawit, kelapa dan nanas.

"Usaha kita tidak berhenti di situ sahaja, tetapi diperluaskan kepada sektor hiliran. Keuntungan setiap perusahaan yang diusahakan parti, 49 peratus daripada akan disalurkan kepada Tabung Hak Rakyat Sarawak manakala 51 peratus lagi untuk pembangunan negeri," jelasnya.

Beliau berkata kerajaan negeri yang akan ditubuhkan oleh SEDAR apabila berjaya mengambil alih kerajaan akan mentadbir negeri ini mempunyai visi, konsep serta pendekatan baharu.

Kerajaan baharu di bawah SEDAR katanya tidak akan bergantung sepenuhnya kepada sumber kewangan daripada sumber minyak dan gas yang bakal lenyap dalam tempoh 10 tahun lagi.

"Kita sangat kecewa kerana Sarawak negeri yang kaya dengan pelbagai sumber tetapi rakyatnya masih miskin. Kenapa?

"Kita akan guna konsep, cara dan pendekatan yang baharu untuk mentadbir Sarawak jika berjaya mengambil alih kerajaan. Kita mahu kekayaan Sarawak dikongsi semua rakyatnya

"Cara lama  iaitu menunggu duit dari hasil minyak, dari Kuala Lumpur tidak boleh digunakan lagi," katanya.

Mengenai ahli Majlis Kerja Tertinggi parti itu, Othman berkata kongres julung kali itu menyaksikan 18 orang dilantik.

Abang Halit Abang Malik dipilih sebagai Timbalan Presiden manakala tiga naib presiden ialah Khairul Hanizan Amit, Mark Edmund Kasa dan Rabaiah Tudin.

Abang Ahmad Abang Suni pula dipilih sebagai setiausaha agung, Zaidel Mohidin selaku bendahari Agung, penolong setiausaha agung Ishad Buji, Darius Wil pula sebagai penolong bendahari agung.

Sembilan lagi ahli majlis parti itu ialah Jery'in Fauzi, Sejeli Ajem, Yakup Khalid, Syazwan Apandi, Suffian Muhamed, Abd Rahim Mahmud, Steward Pelok, Adelynna Tok dan Julia Fredarina Munah Payeng.

Advertisement