Anda di sini

Lebih ramai mendaftar di PKS, kepentingan TVET disedari

Advertisement
 Warga PKS dan para pelajar baharu bergambar beramai-ramai pada MSK di PKS, baru-baru ini.
SUAI KENAL: Warga PKS dan para pelajar baharu bergambar beramai-ramai pada MSK di PKS, baru-baru ini.

Sumbangan Mahathir Mohamad Kamin

GOLONGAN ibu bapa dan belia nampaknya semakin sedar bahawa Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) begitu penting pada masa ini.

Pengarah Politeknik Kuching Sarawak (PKS) Jamaliah Ahmad membuat kesimpulan sedemikian berdasarkan bilangan pelajar baharu berdaftar di PKS bagi ambilan pertama 2019 baru-baru ini yang mencecah 1,161 orang.

Jumlah tersebut dijangka bertambah kepada 1,244 orang berdasarkan bilangan maklum balas setuju terima tawaran tetapi belum melapor diri di kampus PKS di Kuching.

“Angka ini telah melebihi norma ambilan yang ditetapkan oleh Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pendidikan Malaysia dan saya percaya bahawa ini merupakan isyarat bahawa pihak ibu bapa dan belia kini sedar bahawa TVET begitu penting pada masa ini, selaras dengan usaha kerajaan untuk menjadikan TVET sebagai aliran pendidikan arus perdana di Malaysia,” kata Jamaliah semasa berucap menyempurnakan Majlis Penutupan Minggu Suai Kenal (MSK) Pelajar Baharu di PKS, baru-baru ini.

Menurut Jamaliah, TVET bukan sahaja mampu melahirkan pekerja mahir dan terlatih negara, malah mereka berupaya mencipta pekerjaan sendiri berbekalkan pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki.

Sebagai pembekal TVET terbesar negara, PKS termasuk 36 buah politeknik lain di Malaysia sentiasa komited dengan pelbagai usaha bagi memastikan lulusan dan graduan politeknik berkualiti, diiktiraf, holistik, seimbang dan mempunyai kebolehpasaran yang tinggi di pasaran industri serta berciri keusahawanan sehingga dapat bergelar ‘Job Creater’.

PKS mempunyai hubungan kolaboratif dengan pelbagai industri melalui peranan Jawatankuasa Penasihat Industri (IAC) yang efektif sehingga kadar kebolehpasaran graduan PKS diterima bekerja meningkat kepada 97.7% pada tahun 2018.

Selain itu, program-program diploma PKS diakreditasi dan mendapat pengiktirafan daripada Malaysian Qualification Agency (MQA) dan  Engineering Technology Accreditation Council (ETAC) Lembaga Jurutera Malaysia.

Pada 2019, PKS sedang menuju ke arah mendapatkan pengiktirafan Asia Pacific Accreditation And Certification Commission (APACC) yang akan memberi impak memudahkan mobiliti graduan politeknik, meningkatkan kebolehpasaran graduan, kemampuan bersaing di peringkat global dan penanda aras kepada pencapaian berprestasi tinggi.

Pada majlis tersebut, Jamaliah turut menasihati penuntut-penuntut baharu PKS agar tidak mensia-siakan peluang yang telah tersedia dengan memberikan komitmen tinggi untuk meraih kecemerlangan akademik dan kokurikulum sepanjang tempoh tiga tahun pengajian sebagai membalas jasa ibu bapa dan keluarga.

Ujarnya lagi, segala penerangan yang diberikan termasuk aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang program MSK berlangsung sejak 23 Jun lalu, hendaklah dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Jamaliah menasihatkan lepasan SPM dan sijil kemahiran yang mencukupi syarat kemasukan tetapi masih belum mendapat tempat agar memohon pada ambilan kedua tahun ini yang dijangka akan dibuka secara dalam talian pada hujung Ogos bagi kemasukan sesi Disember nanti.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah Akademik PKS Chow Tio Kiong, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik Mohamad Khirudin Amdan, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar Mahathir Mohamad Kamin dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Muhammad Shafiq Mohd Shafie.

Advertisement