Anda di sini

Empat mekanisme dipersetujui

 Abang Johari bersalaman dengan penyokong GPS pada Majlis Mesra Armada Pemuda PBB Sarawak di Dewan Suarah Kota Samarahan, semalam.
MESRA: Abang Johari bersalaman dengan penyokong GPS pada Majlis Mesra Armada Pemuda PBB Sarawak di Dewan Suarah Kota Samarahan, semalam.

KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak bersetuju empat mekanisme perundangan berhubung kaedah pelaksanaan membaik pulih sekolah daif di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menjelaskan, secara dasarnya kerajaan negeri telah bersetuju dengan perkara tersebut.

“Sebenarnya kita telah bersetuju secara dasar dan kita sebenarnya ada bermesyuarat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Apa yang disebut oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam kenyataan itu betul dan empat syarat (mekanisme) itu kita bersetuju,” ujarnya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Mesra Armada Pemuda PBB Sarawak di Dewan Suarah Kota Samarahan di sini, semalam.

Abang Johari berkata, kerajaan negeri akan terus berhubung dengan kementerian terlibat bagi penyelesaian perkara tersebut.

Dalam pada itu, beliau yakin masalah berhubung tawaran pinjaman RM1 bilion yang diperuntukkan untuk projek membaik pulih sekolah daif di negeri ini dapat diselesaikan segera.

“Kita sememangnya sudah menyediakan dana RM1 bilion tersebut, kalau itu sudah persetujuannya, hutang kita dihapuskan dan berbalik kepada Kumpulan Wang Disatukan,” jelasnya.

Pada 6 Jun lalu, Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, pendirian kerajaan persekutuan berhubung kaedah pelaksanaan membaik pulih sekolah daif di Sarawak dengan menetapkan empat mekanisme perundangan, telah pun dijelaskan kepada kerajaan negeri semasa mesyuarat di kementerian itu pada 11 Mac lalu, disusuli surat bertarikh 20 Mac lepas.

Kementerian itu turut menjelaskan terdapat empat mekanisme perundangan yang telah ditetapkan iaitu pertama kerajaan negeri Sarawak hendaklah membayar balik sehingga RM1 bilion daripada jumlah hutangnya kepada kerajaan persekutuan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Persekutuan.

Langkah ini selaras dengan penetapan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Kedua, kerajaan persekutuan akan menyalurkan jumlah sama seperti yang dibayar balik oleh kerajaan negeri sebagai peruntukan untuk digunakan bagi projek membaik pulih sekolah daif di Sarawak.

Ketiga, kerja membaik pulih sekolah daif di Sarawak hendaklah ditawarkan secara tender terbuka bagi memastikan ketelusan dan nilai berpatutan berdasarkan tatacara kewangan kerajaan persekutuan semasa.

Keempat, kerajaan persekutuan bersedia mengambil kira keutamaan kerajaan negeri Sarawak dalam menentukan sekolah daif untuk dibaik pulih.

Pada majlis itu, Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyeru setiap pergerakan Pemuda, Wanita dan Bapa parti-parti komponen bersatu dalam memastikan gabungan itu kekal mentadbir Sarawak pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) kelak.

“Barisan Pemuda, Wanita dan Bapa GPS harus bersama-sama rentaknya dalam ‘berkayuh’ supaya kita dapat mencapai matlamat yang ditetapkan,” ujar Presiden PBB itu.

Terdahulu, Ketua Pemuda PBB Gerald Rentap Jabu memberitahu, barisan Pemuda PBB dan GPS sudah bersiap sedia dan menjadi benteng pertahanan pertama dalam memastikan kemenangan pada PRN12 kelak.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Naib Presiden Kanan PBB Datuk Seri Fadillah Yusof, Naib Presiden PBB Datuk Julaihi Narawi, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nasar dan tetamu kehormat lain.