Anda di sini

Bahagian Sri Aman bakal dinamakan semula kepada Simanggang

  Abang Johari membuka buluh lemang sebagai simbolik perasmian Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Anak Perantau Melayu Simanggang di Dewan Suarah Kuching malam tadi. - Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi
Abang Johari membuka buluh lemang sebagai simbolik perasmian Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Anak Perantau Melayu Simanggang di Dewan Suarah Kuching malam tadi. - Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Bahagian Sri Aman bakal dinamakan semula kepada Bahagian Simanggang bagi mengekalkan identitinya yang lebih dikenali dengan nama Simanggang. 

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, secara dasarnya beliau bersetuju untuk bahagian itu dinamakan Simanggang dan mengekalkan bandarnya dengan nama Sri Aman. 

"Saya akan membawa perkara ini ke kabinet untuk pertimbangan dan berharap rakan-rakan kabinet akan bersetuju kerana nama Simanggang sememangnya terkenal," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Anak Perantau Melayu Simanggang di Dewan Suarah Kuching di sini malam tadi. 

Bagi mengangkat sosio ekonomi rakyat terutama di Simanggang, Abang Johari berkata Kerajaan Sarawak telah meluluskan RM1 juta kepada Koperasi Simanggang sebagai modal membangunkan sektor pertanian. 

Katanya banyak tanah terbiar yang boleh dibangunkan untuk pertanian bernilai tinggi seperti Nanas MD2, sayuran dan buahan yang dapat dijual ke luar negara. 

"Kita gunakan cara ini untuk tambah nilai aset orang Melayu Simanggang. Dengan adanya tanah dan modal, saya yakin kita boleh transform orang Melayu Simanggang termasuk yang merantau di Kuching," katanya. 

Menyentuh mengenai pembangunan di bandar Sri Aman, Abang Johari berkata satu pelan induk dikemukakan pada mesyuarat bulan lepas bersama Residen Sri Aman, Majlis Daerah Sri Aman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis. 

Pelan induk menyeluruh tersebut katanya melibatkan kos yang besar termasuk pembangunan kawasan hijau dan akan dimasukkan dalam bajet tahun depan. 

Bercakap mengenai majlis tersebut, ia merupakan program tahunan anjuran Jawatankuasa Anak Perantau Melayu Simanggang sejak lapan tahun lalu. 

Sehingga kini, dianggarkan sekitar 3,000 anak perantau Melayu Simanggang bekerja dan menetap Kuching dari generasi pertama hingga ke generasi kedua. 

Turut hadir Menteri Muda Keusahawanan dan Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana, Datuk Mohd Naroden Majais, ADUN Lingga, Simoi Peri dan Pengerusi Pengelola, Kameri Affandi serta lebih 500 anak perantau Melayu Simanggang.