Anda di sini

263 kes bom ikan direkod di Semporna tempoh empat bulan 

Advertisement
AKTIVITI bom ikan (gambar hiasan).
AKTIVITI bom ikan (gambar hiasan).

KOTA KINABALU: Sebanyak 263 kes pengeboman ikan direkodkan berlaku di Semporna bagi tempoh Jun hingga September tahun lalu.

Ketua Sementara Marin, Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia Monique Sumampouw berkata, secara purata 65 kes pengeboman ikan direkodkan berlaku di daerah itu dalam tempoh empat bulan.

Berikutan insiden yang meragut nyawa tiga penyelam termasuk seorang jurulatih selaman dan dua pelancong China di Pulau Kalapuan Semporna pada Jumaat lepas, WWF-Malaysia menggesa agar aktviti menangkap ikan secara haram seperti pengeboman ikan ini dihentikan serta-merta.

Malah, larangan penggunaan bot pam juga perlu dikuatkuasakan kerana penggunaan bot itu sering dikaitkan dengan kegiatan pengeboman ikan.

“Kaedah mengebom ikan ini bukan sahaja dilakukan secara haram tetapi juga mendatangkan bahaya kepada manusia serta memusnahkan habitat marin seperti terumbu karang.

“Oleh itu, pihak berkuasa perlu bertindak segera bagi menghentikan kegiatan penangkapan ikan secara haram yang tidak dilaporkan dan tidak terkawal, khususnya aktiviti pengeboman ikan dan penggunaan bot pam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Ahad.

Monique berkata, WWF-Malaysia berharap pihak berkuasa akan mempergiatkan rondaan dan pemantauan serta meningkatkan penguatkuasaan bagi memastikan aktiviti pengeboman ikan tidak berterusan.

BOM IKAN (gambar hiasan).
BOM IKAN (gambar hiasan).

Sementara itu, Presiden Persatuan Penyelam Profesional Semporna (SPDA) Abdul Razak Ismail menyarankan kepada kerajaan supaya mewujudan Ranger Marin bagi menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan laut.

“Jurulatih selaman profesional tempatan mungkin boleh dilatih dan diserap bagi memantau aktiviti haram di kawasan perairan kita agar pelancong sentiasa merasa selamat melakukan aktiviti air.

“Ranger marin ini juga boleh memantau dan melindungi terumbu karang,” katanya.

Katanya, jika ada garis panduan yang latihan yang secukupnya, penyelam profesional tempatan ini mampu menyumbang khidmat dalam membantu pihak berkuasa menjalankan pemantauan.

Advertisement