Anda di sini

FINAS mahu kerjasama penuh daripada pawagam tempatan

Advertisement
 Rombongan Jawatankuasa Wajib Tayang FINAS dan PFM terdiri Onn Norshal, Pansha, Abdul Khalid (lima, empat dan tiga kiri) merakam gambar kenangan bersama Troy (tengah) serta yang lainnya di pawagam Ashtar Galactic Cinema Bintulu.
UNTUK ALBUM: Rombongan Jawatankuasa Wajib Tayang FINAS dan PFM terdiri Onn Norshal, Pansha, Abdul Khalid (lima, empat dan tiga kiri) merakam gambar kenangan bersama Troy (tengah) serta yang lainnya di pawagam Ashtar Galactic Cinema Bintulu.

BINTULU: Berikutan cabaran besar daripada filem-filem dari luar negara, Jawatankuasa Skim Wajib Tayang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah mengadakan lawatan untuk berkomunikasi dengan pihak pawagam bagi memastikan filem-filem ditayang di negara ini dapat bersaing serta mendapat peluang saksama dalam pasaran terbuka.

Ahli Lembaga FINAS Onn Norshal Hamzah berkata, perlu untuk meningkat komunikasi dan mengenal pasti pawagam-pawagam berdaftar di bawah FINAS yang mana pawagam di seluruh negara termasuk Bintulu adalah antara pemain utama yang menayangkan filem-filem tempatan.

“Kehadiran kami ke sini adalah untuk berkomunikasi, saling mengenali antara pihak FINAS, penerbit dan pawagam sekali gus untuk mengumpul maklumat sekiranya pada masa akan datang ingin membuat keputusan berkaitan dengan wajib tayang kami mempunyai maklumat yang tepat untuk menilai sesuatu pawagam dengan memastikan filem-filem yang ditayangkan menepati cita rasa pasaran,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa membuat lawatan bersama rombongan Jawatankuasa Wajib Tayang FINAS dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) ke pawagam Ashtar Galactic Cinema Bintulu di Commerce Square Mall, Parkcity Commerce Square kelmarin.

Lawatan itu disertai Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan FINAS Abdul Khalid Maulod dan Ketua Pegawai Eksekutif PFM Pansha Nalliah serta dihadiri pemilik pawagam Ashtar Galactic Cinema Bintulu Troy Chan.

Onn Norshal berkata, skim wajib tayang ditubuhkan FINAS untuk memastikan filem-filem tempatan sentiasa terpelihara dari segi kelayakannya untuk ditayangkan di pawagam seluruh negara dan sebagai inisiatif FINAS untuk membawa imej filem tempatan ke seluruh negara agar ia mampu bersaing dalam pasaran.

“Disebabkan dalam pasaran terbuka di pawagam seluruh negara maka sudah pasti filem tempatan menghadapi cabaran daripada filem-filem luar, justeru dengan adanya kerjasama ini dan pelaksanaan skim wajib tayang melalui inisiatif kerajaan, filem-filem tempatan akan dapat bersaing di pasaran terbuka dan penerbit-penerbit serta pawagam-pawagam dapat peluang saksama dalam pasaran,” jelasnya.

Menurutnya, apabila sesuatu filem diluluskan dalam syarat wajib tayang, ia mesti ditayangkan di pawagam selama 14 hari tetapi ada syarat tambahan dalam tempoh 14 hari itu iaitu pada tiga hari atau empat hari pertama sekiranya tidak mencapai peratus kompetensi pihak pawagam ada budi bicara sama ada untuk mengekalkan atau menarik keluar tayangannya.

Begitupun katanya, matlamat kami adalah untuk memastikan pawagam itu menayang filem tempatan dan filem tempatan diberi peluang untuk ditayang di pawagam misalnya untuk tiga hari pertama pencapaiannya sekiranya di bawah 15 peratus, pawagam berhak untuk membuat keputusan sama ada untuk teruskan tayangan ataupun tidak.

“Sekiranya mencapai di atas 15 peratus dan di bawah 30 peratus pada empat hari pertama tayangan, pawagam boleh menayangkannya di pawagam lebih kecil daripada pawagam besar,” tambahnya.

Selain pawagam di Bintulu, jawatankuasa terbabit juga turut mengadakan lawatan ke pawagam TGV Imperial City Mall Miri, Time Cineplex (Time Square Shopping Centre) Brunei Darussalam, The Mall Cineplex (Gadong) Brunei Darussalam, King Trioplex Sibu, MMC Summer Mall Kuching, GSC City One Kuching, MMC Riverside Kuching, MBO Spring Kuching dan TVG Vivacity Kuching.

  • oleh
  • Advertisement