Anda di sini

Lagu rentak Sumazau boleh diketengah ke persada antarabangsa

Advertisement
EWON (tengah), Asmin (dua dari kanan) dan Boon (dua dari kiri) menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Dabra (kanan) dan Elizabeth.
EWON (tengah), Asmin (dua dari kanan) dan Boon (dua dari kiri) menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Dabra (kanan) dan Elizabeth.

PENCIPTA lagu tempatan diminta lebih kreatif mencipta lagu berentak Sumazau terutama dalam Bahasa Inggeris dan Mandarin supaya boleh dipasarkan di peringkat antarabangsa.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata lagu-lagu itu secara tidak langsung akan mempromosi dan memperkenalkan keunikan kebudayaan pelbagai masyarakat di negeri ini terutamanya Kadazandusun.

"Selama ini, beberapa artis tempatan kita telah menggubah lirik ke bahasa tempatan beberapa lagu yang berasal dari negara lain tetapi masih mengekalkan rentak irama lagu tersebut.

"Ia mendapat sambutan di kalangan pendengar dalam negara kita seperti lagu yang berasal dari negara 'Orang Putih', Korea, Jepun, Tagalog, Mandarin dan sebagainya.

"Saya berpendapat kita juga boleh mengeksport lagu-lagu kita dengan rentak Sumazau ke persada antarabangsa.
"Barangkali para pencipta lagu tempatan atau artis-artis kita sendiri boleh memulakannya dengan mencipta lagu-lagu dalam bahasa Inggeris, Mandarin atau bahasa utama dunia lain dengan mengekalkan rentak Sumazau supaya mudah dihayati oleh para pendengar antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara pemenang johan Sugandoi Kaamatan Sabah 2019, Dabra Sia Ying Ying dengan syarikat Sony Malaysia dan juga Kontrak Ekslusif di antara pemenang naib johan Sugandoi, Eylia Eyre Guntabid dengan syarikat Broadway Entertainment di Kokol Haven Resort, Menggatal.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian menyatakan rasa bangga dan penghargaan kepada jawatankuasa Sugandoi pimpinan Asmin Mudin kerana berjaya mencipta sejarah baharu mengangkat martabat artis-artis sugandoi sehingga menjadi duta dan artis rakaman syarikat antarabangsa.

"Bukan hanya pencapaian ini merupakan satu sejarah yang penting, tetapi saya amat yakin saudari Dabra dan Eylia akan mencetuskan motivasi dan menjadi idola kepada ramai anak muda termasuk dari kampung-kampung di luar bandar untuk berjaya dalam bidang pilihan masing-masing.

EWON menyaksikan penyerahan kontrak daripada Boon kepada Eylia Eyre.
EWON menyaksikan penyerahan kontrak daripada Boon kepada Eylia Eyre.

“Bagi pihak Kerajaan Sabah juga, saya merakamkan penghargaan kepada Sony Malaysia dan Broadway Entertainment kerana memilih artis-artis Sugandoi Kaamatan sebagai duta dan artis rakaman mereka," katanya.

Turut hadir Penasihat Sugandoi Artiste Management (SAM) Asmin Mudin, Wakil Sony Malaysia Elizabeth Lee dan Pengarah Urusan Broadway Entertainment (M) Sdn.Bhd Boon Tan.

 

Advertisement