Anda di sini

Karnival Kerjaya JobsMalaysia tawar lebih 1,000 pekerjaan di Sarawak

Advertisement
Sulaiman bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada Karnival Kerjaya JobsMalaysia di UTC Kuching hari ini. Gambar Muhd Rais Sanusi
Sulaiman bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada Karnival Kerjaya JobsMalaysia di UTC Kuching hari ini. Gambar Muhd Rais Sanusi

KUCHING: Sebanyak 1,324 pekerjaan meliputi pelbagai jawatan ditawarkan pada Karnival Kerjaya JobsMalaysia yang berlangsung di Pusat Tranformasi Bandar (UTC) Kuching di sini, hari ini. 

Timbalan Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak, Sulaiman Ismail berkata jawatan yang ditawarkan meliputi sektor pembuatan, perkhidmatan dan juga peruncitan. 

“Kebanyakan jawatan yang ditawarkan oleh 20 majikan yang kita bawa pada karnival hari ini merupakan jawatan yang perlu diisi segera dari jawatan berkelulusan ijazah hingga ke Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). 

“Justeru, saya menyeru semua belia lepasan sekolah dan lepasan ijazah untuk merebut peluang ini serta tidak memilih pekerjaan sebagai langkah permulaan pembangunan kerjaya mereka,” katanya ketika ditemui pemberita pada karnival tersebut, hari ini. 

Lebih 3,000 pencari kerja di Sarawak khususnya Kuching merebut peluang pekerjaan yang ditawarkan pada  Karnival Kerjaya JobsMalaysia di UTC Kuching hari ini. Gambar Muhd Rais Sanusi
Lebih 3,000 pencari kerja di Sarawak khususnya Kuching merebut peluang pekerjaan yang ditawarkan pada Karnival Kerjaya JobsMalaysia di UTC Kuching hari ini. Gambar Muhd Rais Sanusi

Mengulas lebih lanjut mengenai karnival berkenaan, ia dijalankan serentak di seluruh negara hari ini dan bermula pada pukul 8 pagi hingga 5 petang

Karnival ini merupakan yang kelima diadakan pada tahun ini di Sarawak selepas Mukah, Darul Hana, Lawas dan Bintulu. 

Jabatan dalam pada itu turut merancang untuk mengadakan karnival kerjaya khusus untuk golongan orang kelainan upaya (OKU) dan juga bekas pelatih Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). 

Tujuannya adalah untuk memastikan golongan pencari kerja OKU dan juga bekas pelatih AADK  tidak terlepas daripada peluang mendapatkan pekerjaan. 

“Cadangan kita adalah untuk mengadakan karnival khusus untuk OKU ini pada tahun ini dan buat masa ini ia masih diperingkat perbincangan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). 

“Manakala untuk AADK pula, mesyuarat akan diadakan minggu depan untuk tentukan kaedah bagaimana kita hendak melaksanakan karnival ini dan menyakinkan majikan bahawa mereka ini juga berpotensi untuk ditempatkan pekerjaan,” katanya. 

Pada bulan Ogos ini pula, jabatan akan mengadakan Jelajah Kerjaya Kenyalang 3.0 bermula dari Samarahan, Betong, Sibu dan berakhir di Miri.

Bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk menghadiri karnival kerjaya anjuran jabatan pula, mereka digesa untuk mendaftar sebagai pencari kerja aktif dibawah sistem JobsMalaysia. 

Pendaftaran adalah percuma dan pemadanan pekerjaan akan dibuat mengikut kehendak majikan berdasarkan kelayakan akademik. 

Setakat ini 3,000 pencari kerja aktif di Sarawak mendaftar dibawah sistem JobsMalaysia dan jabatan mensasarkan untuk menempatkan 11,000 pencari kerja di Sarawak sepanjang tahun ini. 
 

  • oleh
  • Advertisement