Anda di sini

Wujud isu kurang tenaga pengajar mualaf luar bandar

Advertisement
RAZALI (kiri) dan Ahaning aktif mencari golongan mualaf yang tercicir daripada menerima kelas bimbingan Islam.
RAZALI (kiri) dan Ahaning aktif mencari golongan mualaf yang tercicir daripada menerima kelas bimbingan Islam.

TAWAU: Kekurangan tenaga pengajar seperti ustaz dan ustazah dikenal pasti kekangan utama memastikan golongan mualaf di luar bandar menerima bimbingan berterusan.

Malah, Utusan Borneo difahamkan ada kawasan pedalaman yang didapati masih belum mempunyai tenaga pengajar sama sekali untuk membimbing saudara Islam yang baharu.

Penasihat Persatuan Mualaf Tawau (PMT) Ustaz Razali Abdullah Sani berkata isu itu perlu diatasi segera khususnya melalui penyediaan kelas-kelas bimbingan agama.

“Sebenarnya, kita memerlukan ramai tenaga pengajar misalnya di Masjid Al-Kauthar sekurang-kurangnya lima orang, malah di Balung dan Sebatik juga ada permintaan.

“Faktor jarak dan jaringan pengangkutan juga menjadi kekangan utama misalnya kita memerlukan masa perjalanan menaiki bot selama lima jam untuk ke Serudong Laut.

“Berikutan itu, kita perlu memberikan elaun kepada tenaga pengajar untuk menetap dan mengajar kerana banyak permintaan untuk mengadakan kelas agama di sana,” katanya.

Razali berkata demikian semasa diajukan soalan berhubung usaha dakwah terhadap golongan mualaf di sini pada Khamis, dan turut ditemani Pengerusi PMT Ahaning Abau.

Menurutnya, kelas bimbingan agama khusus untuk mualaf sangat diperlukan kerana masih ada dalam kalangan golongan berkenaan yang segan ke masjid atau surau.

“Kita berharap ilmu dan pendedahan imam di sesebuah penempatan dapat diperkasakan melalui bimbingan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains).

“Imam-imam juga bertangungjawab secara langsung dalam menjaga kebajikan serta hal-ehwal golongan mualaf, termasuk mengaji, solat dan ibadah lain,” katanya.

Beliau memuji usaha PMT dalam lima tahun kebelakangan ini kerana bergerak aktif dalam memberikan kefahaman dan pendidikan Islam kepada mualaf.

Termasuklah, usaha PMT dalam mengadakan kelas bimbingan untuk golongan mualaf di daerah ini, khasnya menerusi pengajaran dan pembelajaran di Masjid Al-Kauthar.

“Penganjuran kelas ini bukan sahaja bermanfaat untuk menambah ilmu mereka tetapi turut merapatkan ukhwah saudara baharu dalam syiar Islam menerusi pelbagai aktiviti.

“PMT turut berusaha mengadakan kelas bimbingan di Merotai dengan seliaan Jheains, serta turut mengadakan madrasah untuk saudara baharu dan kelas di Kg Serudong Baru.

“Setakat ini, kita melihat usaha-usaha yang dijalankan PMT mendapat sambutan baik daripada golongan mualaf, khususnya di sekitar bandar, Serudong dan Merotai,” katanya.

Ahaning yang turut ditanya berhubung aktiviti PMT memberitahu bahawa setakat ini terdapat 700 mualaf berdaftar dengan persatuan itu semenjak 2014 sehingga 2019.

Antara aktiviti yang dianjurkan, termasuklah kelas bimbingan Islam, majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri, berbuka puasa, menunaikan ibadah korban dan sebagainya.

“Kita mengalu-alukan kepada semua mualaf mengikuti kelas bimbingan yang PMT adakan dan boleh berhubung dengan saya (0195357204) sendiri untuk keterangan lanjut.

“Mereka yang berminat boleh juga menghubungi Timbalan Pengerusi PMT Khatijah Pecca Abdullah (0168137349) atau Ustaz Razali (0148452077),” katanya.

  • oleh
  • Advertisement