Anda di sini

Santuari Hidupan Liar Kinabatangan bakal terkenal

Advertisement
CHRISTINA (dua kiri) memalu gong sebagai gimik rasminya pelancaran Borneo Villa Accommodation dan SERC di Sukau Rainforest Lodge.
CHRISTINA (dua kiri) memalu gong sebagai gimik rasminya pelancaran Borneo Villa Accommodation dan SERC di Sukau Rainforest Lodge.

KERAJAAN menerusi Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar akan menjadikan Santuari Hidupan Liar Kinabatangan sebagai fokus utama diperkenalkan pada peringkat antarabangsa sebagai salah satu destinasi pelancongan terpenting di Sabah.

Menterinya Datuk Christina Liew berkata, usaha itu akan dilakukan ketika beliau sendiri dalam misi ke luar negara bagi mempromosi destinasi-destinasi pelancongan di Sabah dalam beberapa bulan akan datang.

Beliau mendedahkan rancangannya itu ketika melancarkan Borneo Villa Accommodation baharu di Sukau Rainforest Lodge (SRL) dan Pusat Penyelidikan Ecotourism Sukau (SERC) yang hampir siap di sini.

Kedua-duanya adalah inisiatif daripada Borneo Eco Tours (BET) yang diasaskan oleh Albert Teo pada 1991.

"Kinabatangan adalah satu satu kawasan yang mempunyai biodiversiti terbesar di dunia dan salah satu tapak warisan kita dalam negara ini. Penting kepada kita untuk menjaga aset semula jadi ini bukan sahaja kepada masyarakat setempat di Sabah tetapi juga Malaysia.

"Saya difahamkan terdapat pelancong dari tiga negara yang mencatatkan kedatangan tertinggi di sini iaitu United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia. Negara lain yang turut datang adalah China, Amerika dan lain-lain negara," katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, destinasi itu adalah kawasan yang sangat sesuai untuk menyaksikan hidupan liar seperti Orangutan, Monyet Belanda, Gajah Pygmy Borneo, Burung Kenyalang dan Buaya. Terdapat juga spesies hidupan lain yang hampir pupus hidup dalam habitat di sana.

Katanya, tanpa usaha bersama untuk melindungi hutan, Sabah tidak mungkin mempunyai hidupan liar dan tanpanya negeri ini tidak mampu menikmati kedatangan pelancong yang ramai.

"Kawasan hutan seluas 26,000 hektar dalam santuari ini adalah usaha yang dibangunkan kerajaan menerusi strategi pembangunan mampam bagi memperkenalkan keindahan alam dan industri ecotourism di Sabah.

"Sebab itu kerajaan menggalakkan penubuhan badan bukan kerajaan tempatan seperti The Kinabatangan-Corridor of Life Tourism Operators Association (KiTA) bagi membantu melindungi aset pelancongan alam semula jadi seterusnya menyediakan satu standard terbaik kepada pengusaha pelancongan di Sabah bagi memastikan pembangunan mampan dalam sektor ini," katanya.

Christina yang juga Timbalan Ketua Menteri, menjelaskan idea itu bukannya untuk menghalang pengusaha pelancongan kecil-kecilan untuk menjalankan perniagaan mereka, sebaliknya ianya untuk memberikan manfaat kepada semua pemegang taruh termasuk komuniti setempat (penduduk yang terlibat dalam industri inap desa) dan pada masa sama melindungi sumber alam di kawasan terbabit.

Christina bagaimanapun kecewa kerana terdapat sesetengah pihak tidak melihat Kinabatangan sebagai satu aset penting yang perlu dilindungi serta dipelihara.

"Tanpa melindungi nilai biodivesiti yang wujud di sini dan tidak menjalankan perniagaan secara mampan, pengusaha pelancongan di sepanjang sungai Kinabatangan akan berhadapan dengan risiko tutup kedai dalam tempoh jangka masa panjang," katanya.

Dalam lawatan ke Kinabatangan baru-baru ini, Christina turut disertai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Elopura Calvin Chong, Setiusaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar William

Baya, Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Augustine Tuuga, Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Sabah Noredah Othman dan Pengusaha Pelancongan Albert Teo.

Dalam pada itu, Christina menjelaskan Borneo Eco Tours adalah satu contoh syarikat yang terbaik dalam melaksanakan amalan mampan. BET juga turut melaksanakan projek komuniti dan alam sekitar.

Sementara itu, Albert turut memberikan jaminan bahawa pihaknya akan bekerja rapat dengan kerajaan, jabatan berkaitan serta pemegang taruh bagi memastikan Kinabatangan menjadi sebuah destinasi hijau sedunia.

"Kinabatangan mempunyai potensi masa depan yang baik sekiranya semua kita di sini terus bekerjasama.

"Perkara ini hanya boleh dijayakan sekiranya setiap daripada kita menjalankan peranan masing-masing," katanya.

CHRISTINA (tengah) bersama Calvin (tiga kiri) dan tetamu kehormat lain ketika dalam majlis MoU.
CHRISTINA (tengah) bersama Calvin (tiga kiri) dan tetamu kehormat lain ketika dalam majlis MoU.

Dalam lawatan itu, Christina turut menyaksikan dua tandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara BEST Society dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk projek ladang lebah di Kampung Sukau.

Pemilik tanah Mursalin Abdullah turut bersetuju untuk menggunakan tanah seluas 5.6 ekar untuk ecotourism dengan mewujudkan sarang burung kenyalang dalam usaha memelihara spesis terbabit.

  • oleh
  • Advertisement