Anda di sini

RM1.13 bilion untuk pembangunan luar bandar Sabah

Advertisement
RINA (tengah), Ewon (kiri) dan Yusof (kanan) semasa menjawab pertanyaan media selepas selesai majlis bekenaan.
RINA (tengah), Ewon (kiri) dan Yusof (kanan) semasa menjawab pertanyaan media selepas selesai majlis bekenaan.

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM1.13 bilion melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) kepada kerajaan Sabah bagi tujuan pembangunan luar bandar di negeri ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, Sabah menerima peruntukan besar dengan pertambahan 40 peratus berbanding RM811 juta pada tahun 2018.

“Peruntukan ini adalah untuk menyediakan kemudahan elektrik, air bersih, jalan luar bandar, kemudahan di bawah ameniti sosial serta baik pulih dan pembinaan rumah baharu di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT).

"Ini selaras dengan matlamat Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030 (DPLB) untuk mencapai visi pembangunan masyarakat luar bandar yang sejahtera, inklusif, mapan dan holistik bagi memastikan mereka dapat menikmati kehidupan yang sejahtera dan mempunyai akses kepada pelbagai kemudahan fizikal dan sosial selain dapat menikmati peluang sosio-ekonomi yang sama rata seperti di bandar.

"Bagi menjayakan dasar ini, sokongan daripada semua pihak amat diperlukan agar ia dapat dicapai dan hasilnya dapat dirasai menjelang tahun 2030 nanti," ujarnya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Penutupan Kursus Induksi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di sini pada Khamis.

Seramai 824 peserta terdiri daripada Pengerusi dan Setiausaha MPKK dari tujuh buah daerah di negeri Sabah dan sebuah dari Labuan menyertai kursus berkenaan yang dilaksanakan oleh KPLB menerusi Institut Kemajuan Desa (INFRA) bermula dari 2 hingga 4 Julai.

Turut hadir adalah Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick, Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPLB Datuk Che Murad Sayang Ramjan dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPLB Norison Ramli.

 

  • oleh
  • Advertisement