Anda di sini

Rakyat wajib punya kesedaran jaga keselamatan kediaman

Advertisement
JAUJAN (tengah) bersama tetamu kehormat lain menyempurnakan acara memotong kek.
JAUJAN (tengah) bersama tetamu kehormat lain menyempurnakan acara memotong kek.

KOTA KINABALU: Rakyat wajib mempunyai kesedaran serta tanggunjawab bersama dalam usaha menjaga keselamatan kediaman masing-masing bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, semua rakyat perlu faham kepentingan tanggungjawab itu baik dari segi keselamatan, kebakaran serta perkara yang mampu merosakkan keadaan setempat termasuk masyarakat.

"Kita sering dengar bencana kebakaran berlaku dalam negeri ini dan baru-baru ini ia sekali lagi berlaku di Kampung Kinabutan Kecil, Batu Empat Jalan Apas, Tawau yang memusnahkan sejumlah 86 rumah dan menyebabkan kira-kira 400 orang kehilangan tempat tinggal.

"Bila berlaku kebakaran ini, saya anggap ia bukan lagi satu musibah sebaliknya ia satu keadaan yang perlu dirancang dengan baik.

"Kita buat rumah sudah tentu perlu perancangan baik dari segi konsepnya, jarak di antara sebuah rumah dengan rumah yang lain... penjagaan dalaman rumah terutama pendawaian serta bahagian dapur," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian Majlis Hari Raya Aidilfitri Lembaga Pembangunan Perumahan Bandar (LPPB), di sini, malam Rabu.

Beliau berkata, kebakaran itu kadang-kadang terjadi akibat penyambungan wayar secara haram atau tidak teratur sehingga menyebabkan berlaku litar pintas seterusnya terbakar.

Katanya, kesedaran keselamatan seumpamanya perlu diutamakan oleh para penduduk dan tidak hanya memberikan tanggungjawab itu sepenuhnya kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sahaja.

"Bomba tidak hanya bertugas memadam api, sebaliknya pelbagai tugas menyelamatkan nyawa turut dilaksanakan, oleh itu penduduk harus sedar akan pentingnya menjaga keselamatan di kawasan tempat tinggal masing-masing," katanya.

Dalam ucapannya, Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, LPPB harus mempertingkatkan kualiti dalam pembinaan selain memastikan struktur pembinaan bangunan mematuhi spesifikasi yang ditetapkan.

Katanya, LPPB juga perlu meninjau kembali semua projek perumahan yang dilaksanakan agar mampu disiapkan mengikut jadual ditetapkan.

"Saya ingin menyeru supaya LPPB lebih komited bersama-sama dalam mewujudkan matlamat ke arah menjadikan Sabah sebuah negeri yang dapat membina lebih banyak rumah untuk rakyat agar mereka mampu mempunyai rumah lebih baik," katanya.

Hadir sama ialah Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan George Hiew, Pengerusi LPPB Tan Sri Wences Angang serta tetamu kehormat yang lain.

  • oleh
  • Advertisement