Anda di sini

K'jaan negeri, TYT tidak pernah luluskan tanah di Kg Likas

Advertisement
AZHAR
AZHAR

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri serta Yang Dipertua Negeri Sabah tidak pernah meluluskan sebarang permohonan kepada sesiapa sahaja untuk menduduki sebidang tanah yang dimiliki penuh salah sebuah syarikat di Kampung Likas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karambunai Azhar Matussin berkata, tanah itu bukan milik kerajaan sebaliknya dimiliki sebuah syarikat.

"Dahulunya, tanah itu adalah tapak perkampungan setinggan tetapi telah dirobohkan pihak berkuasa, namun sejak hujung tahun lepas terdapat satu pihak yang menyatakan bahawa saya sebagai Adun Karambunai telah memberikan kebenaran untuk mereka menduduki tempat itu dengan membina rumah dan sebagainya.

"Dalam rakaman yang ditularkan melalui media sosial pula mereka mengatakan TYT telah memberikan kebenaran untuk membangunkan tanah itu, setelah merujuk kepada pihak istana, saya telah dimaklumkan bahawa pihak istana tidak pernah beri sebarang kebenaran untuk mereka menggunakan kawasan itu," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri dan pelancaran Hari Perancang Bandar Sedunia 2019, di sini pada Khamis.

Beliau khuatir ketegangan akan berlaku di antara penduduk Kg Likas dan pihak penceroboh haram berkenaan.

Katanya, pelbagai reaksi negatif diterimanya menerusi panggilan telefon dan Whatsapp yang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan hari ini.

"Saya juga telah menjelaskan kepada penduduk ini bahawa kelulusan tidak perlu diberikan oleh kerajaan mahupun TYT untuk membenarkan individu terbabit menduduki tanah itu.

"Kini kita ingin mengurangkan kawasan setinggan dan bukan ingin tambah," katanya.

Sementara itu, Adun Likas Tan Lee Fatt ketika dihubungi berkata, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah mengeluarkan saman ke atas individu terbabit yang menceroboh tanah itu.

Katanya, DBKK turut mengusir dan mengarahkan kesemua barangan termasuk jengkaut yang digunakan lelaki itu dibawa keluar dari kawasan tanah berkenaan dengan segera.

Lee Fatt berkata, saman itu dikeluarkan pagi Khamis selepas beliau bersama DBKK dan pihak Jabatan Tanah dan Ukur hadir sendiri ke lokasi selepas menerima aduan daripada orang ramai.

"Itu bukan kawasan saya tetapi disebabkan ada aduan dan sudah tular maka kami turun membuat tinjauan, DBKK telah keluarkan saman dan usir individu itu," katanya.

  • oleh
  • Advertisement