Anda di sini

Khai Bahar lega buat pilihan tepat dalam episod kedua ICSYVMY 2

Advertisement
 Khai Bahar telah diberi tanggungjawab untuk mengenal pasti kesemua penyamar bagi episod kedua ICSYVMY 2 pada Ahad lepas.
ARTIS JEMPUTAN: Khai Bahar telah diberi tanggungjawab untuk mengenal pasti kesemua penyamar bagi episod kedua ICSYVMY 2 pada Ahad lepas.

BERTEMAKAN BBNU Lelaki, artis jemputan Khai Bahar telah diberi tanggungjawab untuk mengenal pasti kesemua penyamar bagi episod kedua I Can See Your Voice Malaysia 2 (ICSYVMY 2).

Dengan bantuan panel penyiasat yang turut disertai oleh Ismail Izzani dan Intan Najuwa sebagai penyiasat jemputan, Khai bernasib baik kerana dia berjaya memilih seorang penyanyi sebenar bernama ‘Doom Doom Drum’ (Muhammad Hakimi Mohd Shukabul Yamin) untuk menjadi pasangan duet.

Secara automatiknya, Hakimi telah mendapat tiket emas untuk membuat persembahan bersama artis-artis ternama tanah air di Showcase ICSYVMY 2.

Terdahulu, Khai sangkakan dia membuat keputusan yang salah untuk menyingkirkan ‘Bihun Sedap’ (Mohamad Iza’an Abdul Talib) kerana jejaka misteri ini juga merupakan seorang penyanyi sebenar.

Shuk mengusik Khai yang dia tidak akan dapat tidur lena malam nanti kerana membuat pilihan yang salah.

“Tidur lena! Saya akan tidur lena sebab suara dia lagi sedap daripada saya,” jawab Khai ketawa.

Terpegun dengan suaranya yang merdu ketika menyanyikan lagu berjudul ‘Luluh’, ramai yang terjatuh hati sehingga persem-bahannya itu menjadi topik perbualan hangat di laman media sosial.

Di pusingan pertama pula, Jihan Muse selaku penyiasat tetap telah cuba sedaya upaya untuk meyakinkan Khai yang bahawa penyanyi misteri ‘Putera Dimsum’ adalah seorang penyanyi sebenar.

Namun, cubaan Jihan itu gagal kerana Khai tetap membuat keputusan untuk menyingkirkannya. Setelah disingkirkan, penyanyi misteri yang bernama Fariq Iqhwan Amir Azwa ini dijemput untuk ke pentas penentuan dan mendedahkan suara sebenarnya.

 Khai berduet dengan Doom Doom Drum (Muhammad Hakimi Mohd Shukabul Yamin).
PILIHAN TEPAT: Khai berduet dengan Doom Doom Drum (Muhammad Hakimi Mohd Shukabul Yamin).

Mendendangkan lagu berjudul ‘Hanya Mimpi’ nyanyian asal oleh Caliph Buskers, Khai hanya mampu meminta maaf kepada Fariq setelah melihat persembahannya yang turut didampingi oleh kumpulan koir.

Seperti yang diteka oleh Jihan, penyanyi misteri berbaju corak pisang ini sememangnya seorang penyanyi sebenar.

Dua lagi penyanyi misteri telah disingkirkan di pusingan kedua. Selepas melihat persembahan ‘lip-sync’ mereka, Khai tidak berapa yakin dengan ‘Aku Tampan Aku Tau’ (Muhammad Muizzuddin Abdul Mutalib) dan ‘Henshin Bertukar Lagi’ (Muhammad Fuad Danish Jalani) lantas mereka disingkirkan lalu harus mendedahkan suara sebenar masing-masing di pentas penentuan.

Sekali lagi, Khai menyesal kerana salah seorang penyanyi misteri yang dipilih itu merupakan seorang penyanyi sebenar, manakala lagi seorang pula adalah penyamar. Ada yang sangkakan bahawa Fuad boleh menyanyi kerana gurunya yang juga pernah menyertai program ini di musim pertama seorang penyanyi sebenar.

Untuk pusingan ketiga, tiga ahli penyiasat perlu mempertahankan seorang penyanyi misteri. Mereka diberi peluang untuk mendengar secara individu rakaman suara sebenar penyanyi misteri.

Khai perlu membezakan benar atau bohong berdasarkan penerangan ahli penyiasat dan telah diberi masa 100 saat untuk berbincang dengan ahli penyiasat dan penonton sebelum membuat keputusan.

Selepas selesai berbincang, Khai telah menyingkirkan ‘Jalan Jalan Cari Makan’ (Mohd Zairul Hafizi Mohd Khalis).

Kali ini, tekaan Khai tepat kerana Zairul memang seorang penyamar bersuara sumbang, walaupun rupanya yang kacak kelihatan seperti dia boleh menyanyi.

ICSYVMY 2 dihoskan oleh Shuk Sahar dan Sean LJE manakala tugas ‘penyiasat tetap’ pula masih lagi digalas oleh Jihan Muse, Mark Adam dan Seelan Paul sama seperti musim pertama.

Selain tiga penyiasat tetap ini, mereka turut ditemani oleh dua lagi penyiasat jemputan untuk membantu artis jemputan mengenal pasti siapakah penyamar bersuara sumbang dalam kalangan penyanyi misteri ini.

Setiap penyanyi misteri yang disingkir akan ke pentas penentuan yang mana beliau akan mendedahkan suara sebenar. Seandainya penyanyi misteri terakhir merupakan penyanyi sebenar, penyanyi itu akan dapat menyertai Showcase ICSYVMY 2 dan membuat persembahan bersama artis ternama tanah air.

Namun, jika penyanyi misteri terakhir merupakan penyamar, beliau akan membawa pulang RM3,000.

ICSYVMY musim kedua menemui penonton pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam di TV3. ICSYVMY juga dapat disaksikan menerusi strim LIVE secara HD di tonton, YouTube TV3 Malaysia Official dan YouTube TV9 Malaysia Official.

Advertisement