Anda di sini

Kerjasama dengan AirAsia bakal bawa lebih ramai pelancong ke Australia Barat

Advertisement
 Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail (tiga kanan) dan Menteri Pelancongan Australia Barat, Paul Papalia (tiga kiri) pada majlis menandatangani perjanjian pemasaran di antara Tourism Western Australia dan AirAsia X di Sepang.
PROMOSI: Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail (tiga kanan) dan Menteri Pelancongan Australia Barat, Paul Papalia (tiga kiri) pada majlis menandatangani perjanjian pemasaran di antara Tourism Western Australia dan AirAsia X di Sepang.

KUALA LUMPUR: Kerajaan Australia Barat menerusi agensi pelancongan, Tourism Western Australia hari ini telah mengumumkan perkembangan perjanjian pemasaran bersama dengan peneraju penerbangan tambang rendah, AirAsia di Malaysia baru-baru ini.

AirAsia X Bhd dipilih sebagai salah satu daripada 10 rakan pemasaran global oleh kerajaan Australia Barat menerusi Tourism Western Australia (TWA) bagi mempromosikan destinasi menarik di wilayah berkenaan.

Perjanjian bernilai A$1 juta (RM2.87 juta), mempunyai potensi membawa ribuan pelancong tambahan ke negeri tersebut.

Kempen pemasaran bersama akan dibangunkan bagi mempromosi penerbangan tambang rendah ke Australia Barat termasuk promosi tiket penerbangan dan pengiklanan dalam media cetak, televisyen, radio dan atas talian.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail, berkata AirAsia teruja untuk mengangkat kerjasama dengan Tourism Western Australia ke tahap yang seterusnya dan menerusi perjanjian pemasaran ini dapat meningkatkan permintaan penerbangan dari pasaran Malaysia, India, China dan Jepun.

“Sejak kami memulakan penerbangan ke Australia Barat pada November 2008, kami telah menerbangkan lebih dari tiga juta penumpang menerusi laluan Kuala Lumpur - Perth, Bali - Perth dan yang terkini Lombok - Perth yang bermula bulan lepas.

“Pada tahun 2018 sahaja, AirAsia telah menerbangkan lebih dari 585,000 penumpang dari dan ke Australia Barat.”

“Permintaan bagi Perth dan daerah sekitar Australia Barat adalah jelas dan sokongan berterusan dari Tourism Western Australia ini akan membolehkan kami meneruskan usaha dalam meningkatkan ketibaan pelancong menerusi usaha pemasaran bersama di Malaysia, India, China dan Jepun di mana kami turut mempunyai jaringan perhubungan yang mampan,”  katanya.

Sementara itu, menurut Menteri Pelancongan Paul Papalia Malaysia adalah pengunjung antarabangsa kedua terbesar ke Australia Barat, jadi kami tahu rakyat Malaysia tertarik dengan tawaran dan tarikan yang ada di Australia Barat.

“Perjanjian kerjasama pemasaran ini bukan sahaja akan merangsang lebih ramai pengunjung dari Malaysia, aktiviti pemasaran di pasaran berhubung di India, China, dan Jepun turut akan menarik para pelancong dari pasaran tersebut.

“Membangun pelancongan adalah kunci pelan Pembangunan Kerajaan Negeri bagi mempelbagaikan ekonomi, mencipta peluang pekerjaan dan membangun peluang perniagaan dan menambah jumlah pelancong antararabangsa ke Australia Barat akan membantu mencapai objektif tersebut.”

Oleh kerana itu, kami komited dengan peruntukan A$12 juta (RM34 juta) tambahan ke aktiviti pemasaran antarabangsa bagi Tourism Western Australia.

“Ini adalah peruntukan pemasaran antarabangsa terbesar dalam sejarah negeri dan kami berharap dapat melihat tambahan ribuan pengunjung melawat Australia Barat hasil dari peningkatan aktiviti pemasaran ini,” katanya.

Bagi menyambut pengumuman ini, AirAsia menawarkan tambang rendah bermula dari RM299  sehala bagi tempat duduk biasa dan potongan 20 peratus dari tempat duduk Premium Flatbed yang telah memenangi pelbagai anugerah bagi penerbangan Kuala Lumpur ke Perth.

Tambang rendah ini tersedia untuk tempahan di airasia.com atau menerusi aplikasi mudah alih dari sekarang hingga 7 Julai 2019.

Bagi maklumat lanjut mengenai Tourism Western Australia dan bagi melihat Panduan Kembara Muslim, lawati laman westernaustralia.com atau Facebook page Western Australia.

  • oleh
  • Advertisement