Anda di sini

137 bakakuk dirampas sejak 2017-2019

Advertisement
Omar Mammah memeriksa dokumen pistol milik Tan Sri Anddre Liew yang merupakan pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Sabah sambil diperhatikan oleh Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Mohd Azhar Hamin.
OMAR Mammah memeriksa dokumen pistol milik Tan Sri Anddre Liew yang merupakan pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Sabah sambil diperhatikan oleh Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Mohd Azhar Hamin.

SANDAKAN: Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata pihak polis telah berjaya merampas sebanyak 137 laras senjata bakakuk dirampas sejak tahun 2017 hingga 2019.

“Ini tidak termasuk senapang angin yang diperolehi secara haram,” katanya pada Majlis Pembaharuan Lesen Pistol Tahun 2019 / 2020 di Kelab IPD Sandakan, pagi Khamis.

Beliau berkata pihak polis sentiasa berusaha dengan lebih giat untuk membanteras senjata api haram bakakuk.

“Saya percaya ada dalam kalangan pelesen senjata api (pistol) ini juga memiliki senapang patah.

“Adalah diharapkan agar anda semua tidak menyalahgunakan permit membeli peluru dengan menjual peluru berkenaan kepada pemilik senjata api haram bakakuk untuk mendapatkan keuntungan,” katanya.

Uniknya, jelas beliau, bakakuk (atau nama lainnya ginsok) hanya terdapat di Sabah dan Sarawak menggunakan peluru 12 bore, sama dengan peluru yang diguna untuk senapang patah, telah menyebabkan banyak kematian akibat tersalah tembak terutamanya semasa berburu. Perlu diingat bahawa mereka tidak terlatih untuk mengendalikan senjata api.

Beliau turut mengingatkan pemilik senjata api agar tidak menyalahgunakannya untuk menakut-nakutkan atau mengancam orang lain dalam apa cara sekalipun atau dalam keadaan apa sekalipun, melainkan sekiranya wujud ancaman terhadap nyawa yang boleh membawa kematian atau terhadap harta benda.

“Perbuatan salah guna ini boleh mengakibatkan lesen ditarik balik atau dibatalkan dan yang paling penting, pelesen boleh didakwa atas kesalahan jenayah,” katanya.

Oleh itu, Omar Mammah berkata adalah menjadi tanggungjawab pemilik supaya sentiasa menjaga keselamatan senjata api mereka agar tidak jatuh ke tangan penjenayah atau anasir yang tidak diingini yang boleh menyebabkan keselamatan negeri ini terancam.

“Majlis Pembaharuan Lesen Pistol Tahun 2019 /2020 ini diadakan selaras dengan peraturan yang terkandung dalam peruntukan Seksyen 4, Akta Senjata 1960.

“Peruntukan itu memerlukan pemilik pelesen untuk memperbaharui lesen dan permit senjata api yang dilesenkan bagi membolehkan pelesen membawa senjata api pistol selaras dengan kehendak undang-undang,” katanya.

Beliau turut mengingatkan kepada pelesen yang memperolehi lesen senjata api atas kapasiti sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri bahawa, bekas wakil rakyat boleh memperbaharui lesen atas kapasiti yang sama dalam tempoh tiga tahun apabila tidak lagi menjadi wakil rakyat.

“Selepas tempoh itu, syarat lesen hendaklah ditukar kepada lesen individu. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan lesen senjata api ditarik balik atau dibatalkan.

“Adalah diharapkan agar perkara ini dapat diambil perhatian dan tindakan dengan seberapa segera yang boleh,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement