Anda di sini

Pesta Filem Hungary 2.0 di GSC CityOne pada 6 & 7 Julai ini

Advertisement
 

SUSULAN kejayaan penganjuran pada tahun lepas, Kedutaan Hungary di Kuala Lumpur dengan kerjasama Golden Screen Cinemas dan Cinema Online kembali mempersembahkan Pesta Filem Hungary 2.0 kepada penggemar filem di Malaysia.

Edisi 2019 ini, yang membuka tirai di GSC Pavilion KL pada 21-23 Jun lepas,  ialah salah satu daripada tumpuan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Hungary dan Malaysia.

Berbanding hanya di Kuala Lumpur sebelum ini, kali ini pesta tersebut akan menemui peminat filem di Sarawak dengan tayangan khas di GSC CityOne Megamall, Kuching pada 6 dan 7 Julai selepas singgah di Pulau Pinang pada 29 dan 30 Jun lepas.

Sebanyak empat buah filem yang memenangi anugerah telah dipilih dengan 16 tayangan percuma disusun untuk peminat pesta filem menikmati dan mempelajari filem, budaya dan negara Hungary dengan lebih lanjut.

Empat filem itu adalah ‘Liza, the Fox-Fairy’ yang telah memenangi tujuh anugerah termasuk anugerah filem terbaik César Awards 2019, filem ‘The Troupe’, filem ‘Think of Me’ dan filem muzikal romantik ‘Pappa Pia’.

Dengan memperkenalkan khazanah tradisi sinematiknya, Pesta Filem Hungary 2.0 diharap mampu mempromosikan negara dan budaya Hungary kepada rakyat Malaysia serta mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara.

Peminat yang ingin mendapatkan tiket filem Hungary secara percuma hanya perlu ke pawagam GSC yang menyertai dengan menunjukkan sama ada salinan cetakan mana-mana artikel atau syot pantas artikel atau logo di media sosial, mengenai Pesta Filem Hungary 2.0 ini.

Setiap bahan yang ditunjukkan akan melayakkan mereka untuk menebus dua tiket percuma untuk filem yang sama sehingga empat tiket setiap orang berdasarkan ‘siapa cepat, dia dapat’.

Untuk makluman, majlis pelancaran Pesta Filem Hungary 2.0 - Kuching akan diadakan pada hari ini (4 Julai 2019) di GSC CityOne Megamall dengan tayangan filem ‘Think of Me’ dan dijangka akan dihadiri oleh Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah sebagai tetamu kehormat.

Advertisement