Anda di sini

Hidangan istimewa, Burger INSPI(RED) untuk tetamu AirAsia

Advertisement
 Rudy Khaw dan Hong melancarkan hidangan Burger INSP(RED) baharu bersama krew kabin AirAsia.
ISTIMEWA: Rudy Khaw dan Hong melancarkan hidangan Burger INSP(RED) baharu bersama krew kabin AirAsia.

KUCHING: AirAsia dan Santan telah bekerjasama dengan (RED) untuk menghasilkan hidangan istimewa, Burger INSPI(RED) yang boleh didapati dalam semua penerbangan, dalam usaha menyokong perjuangan menamatkan AIDS.

Direka oleh Duta Cef (RED) yang berpangkalan di New York Hong Thaimee, burger berkenaan bakal membawa anda menikmati keenakan cita rasa utara Thailand dalam menyampaikan pengalaman ‘Timur bertemu Barat’.

Ia mengandungi daging burger ayam empuk dimasak sempurna bersama sos ikan, daun limau purut serta serai, dilengkapi dengan mayones cili hijau ‘Nam Prik Noom Mayo’, kobis ungu dan hirisan tomato selain diapit dengan ban brioche dengan rasa ubi bit.

Bagi setiap pembelian Burger INSPI(RED), 10 peratus daripada jualan akan disumbangkan terus kepada Dana Global bagi menyokong ujian, kaunseling, rawatan dan program pencegahan HIV/AIDS di rantau ASEAN.

Hong berkata, sebagai cef berasal dari Thai yang berpangkalan di New York, beliau ingin menggabungkan keunikan kedua-dua cita rasa timur dan barat iaitu perisa Thai dan burger klasik Amerika dengan mewujudkan sebuah hidangan yang mudah dinikmati oleh tetamu penerbangan.

‘Sejak saya memulakan langkah dalam bidang kulinari, misi dan matlamat saya adalah untuk membawa cita rasa Thailand kepada khalayak ramai, dan saya teruja kerana dapat memperkenalkan cita rasa istimewa kampung halaman Chiang Mai saya kepada 8 juta tetamu yang terbang bersama AirAsia setiap bulan,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Ketua Pegawai Operasi (RED) Jennifer Lotito pula berkata, sebagai sokongan terhadap kempen ‘Nikmati (RED), Selamatkan Nyawa’ pihaknya berbangga melihat AirAsia bekerjasama dengan Hong Thaimee untuk membawa (RED) ke udara dengan Burger INSPI(RED).

“Ia bukan sekadar hidangan lazat untuk penumpang, malah mewujudkan kesedaran dalam perjuangan AIDS dan membantu meningkatkan dana kritikal untuk membiayai program HIV/AIDS di ASEAN,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Penjenamaan Kumpulan AirAsia Rudy Khaw berkata, pihaknya  sangat teruja memperkenalkan hidangan Santan terbaharu mereka, Burger INSPI(RED), ciptaan Hong untuk tetamu mereka.

“Walaupun lewat memulakan kerjaya masakannya, Hong bekerja keras dan mempunyai azam untuk menempa nama untuk dirinya sendiri, sama seperti AirAsia.

“Dengan mempunyai pemikiran ‘Dare to Dream’ dan warisan yang bersama, bekerjasama dengan Hong ini adalah seperti gabungan dua personaliti ASEAN yang saling menyokong antara satu sama lain di rantau ini,” jelasnya.

Para tetamu digalakkan untuk membuat pratempahan Burger INSPI(RED) yang didatangkan dengan minuman percuma pada harga promosi hanya RM10 di semua penerbangan AirAsia ke semua destinasi.

Pratempahan hidangan Santan boleh dibuat melalui pautan ‘Tempahan Saya’ di airasia.com untuk menikmati lebih penjimatan, pelbagai pilihan hidangan dan keutamaan hidangan dalam pesawat.

AirAsia juga telah mewujudkan barangan edisi khas jenama bersama (AirAsia)RED dalam menyebarkan mesej (RED), termasuk topi ikonik AirAsia, model pesawat untuk penggemar hobi dan lain-lain, dengan AS$2.00 daripada setiap penjualan barangan akan disumbangkan kepada Dana Global.

Pratempahan Burger (INSPI)RED tersedia untuk semua kod penerbangan kecuali penerbangan AirAsia India (kod penerbangan I5) dan AirAsia Japan (kod penerbangan DJ).

Harga tertakluk kepada nilai pertukaran mata wang asing harian.

Advertisement