Anda di sini

Selendang kalis air bakal rebut Piala SME Bank 90-Days Challenge 2019

Advertisement
 Pemilik dan kakitangan Chandani Fashion bergambar kenangan bersama Nurul Dafiqah (tengah) semasa sesi boot camp di Kuala Lumpur.
TINGKATKAN PENGETAHUAN: Pemilik dan kakitangan Chandani Fashion bergambar kenangan bersama Nurul Dafiqah (tengah) semasa sesi boot camp di Kuala Lumpur.

EMPAT pelajar Kolej Komuniti Kuching akan berentap sebagai finalis pada peringkat akhir ‘SME Bank 90-Days Business Challenge 2019’ yang bakal diadakan dari 6 hingga 8 Julai ini  di Kuala Lumpur.  

Peringkat akhir ini bakal menyaksikan sebanyak 20 kumpulan finalis dari Kolej Komuniti dan politeknik seluruh negara merebut gelaran juara dan membawa pulang wang tunai serta Piala SME Bank 90-Days Challenge 2019.

Pertandingan berbentuk keusahawanan ini merupakan inisiatif SME Bank yang khusus dianjurkan kepada pelajar Kolej Komuniti dan politeknik di Malaysia sebagai platform melatih diri mengenai keusahawanan dan belajar tentang keusahawanan di kolej masing-masing.

Tahun 2019 merupakan kali kedua Kolej Komuniti Kuching menyertai pertandingan ini di mana pada 2017 kolej ini berjaya menduduki tempat kedua dalam pertandingan akhir yang membawa pulang wang tunai RM10,000.

 Pemilik dan kakitangan Chandani Fashion menyiapkan tempahan selendang kalis air.
MEMBERANGSANGKAN: Pemilik dan kakitangan Chandani Fashion menyiapkan tempahan selendang kalis air.

Jika tahun lalu Kolej Komuniti Kuching membawa produk pelancongan untuk dipertandingkan, namun pada tahun ini, Kolej Komuniti Kuching akan mempertaruhkan syarikat Chandani Fashion yang membekal dan menjual selendang kalis air.

Syarikat Chandani Fashion merupakan milikan penuh pelajar Kolej Komuniti Kuching yang terlibat dengan program inkubator keusahawanan.  

Mereka terdiri daripada seorang pengurus dan pemilik iaitu Fatin Athirah Faizul Afsar serta tiga kakitangan iaitu Nurul Izzah Dahlan, Siti Masitah Abdul Rahman dan Sabrina Jasmine Abu Hassan.  

Keempat-empat pelajar ini merupakan pelajar Semester 3 bagi kursus Sijil Fesyen dan Pakaian (SFP).

 Pakej pembungkusan selendang kalis air yang unik dan menarik.
KELEBIHAN: Pakej pembungkusan selendang kalis air yang unik dan menarik.

Kekuatan Chandani Fashion terletak pada keunikan produk yang ditawarkan dan mereka merupakan satu-satunya usahawan yang membekalkan produk selendang kalis air di Sarawak.  

Selendang ini dilengkapi dengan teknologi nano (NanoTech Coating) yang membolehkan ia menjadi kalis air sekali gus mudah untuk dicuci dan dikeringkan.

Selain itu, kesemua kakitangan Chandani Fashion juga dibekalkan dengan latihan dan kursus yang bersesuaian bagi membolehkan mereka menimba pengalaman dalam bidang fesyen dan keusahawanan.  

Mereka dibimbing oleh tiga pensyarah yang bertanggungjawab sebagai Pembimbing Inkubator Keusahawanan iaitu Nurul Dafiqah Kamarulzaman, Penasihat Teknikal iaitu Nur Izzah Abdul Kadir dan Pegawai Keusahawanan, Nur Yasmin Yaman.  

Menurut Nurul Dafiqah, penglibatan Chandani Fashion dalam Program Inkubator Keusahawanan adalah seawal bulan Jun 2018.  

Sepanjang tempoh tersebut katanya, prestasi syarikat ini sentiasa dipantau dan dinilai oleh SME Bank.

“Pada bulan Mac yang lalu, mereka juga telah mengikuti sesi ‘boot camp’ yang diadakan di Selangor sebagai persediaan untuk meningkatkan pengetahuan mereka tentang keusahawanan.

“Semasa sesi ‘boot camp’, Centre for Entrepreneur Research and Development Sdn. Bhd (CEDAR), sebuah anak syarikat milik penuh SME Bank telah menyampaikan taklimat dan bengkel keusahawanan sebagai bimbingan untuk pelajar dalam menghasilkan kertas kerja mereka,” katanya dalam kenyataan media kelmarin.

Beliau berkata, mereka juga akan didedahkan kepada kemahiran kepimpinan, ceramah motivasi dan pengucapan umum untuk meningkatkan keyakinan diri untuk berucap di khalayak ramai.

“Pada masa ini Chandani Fashion beroperasi di bangunan Kolej Komuniti Kuching dan bergiat aktif dalam menjalankan perkhidmatan jahitan secara pukal kepada usahawan-usahawan fesyen di Sarawak dan seterusnya mereka merancang untuk meningkatkan hasil jualan dengan meluaskan pasaran produk selendang kalis air ke Negara Brunei Darussalam,” ujar beliau lagi.  

Beliau menambah, menjadi satu-satunya wakil dari Sarawak, Kolej Komuniti Kuching mempunyai harapan tinggi agar dapat mengharumkan nama negeri ini di peringkat kebangsaan dan membawa pulang trofi kejuaraan.

Advertisement