Anda di sini

KRT Kampung Tanjong Apong anjur Program Jalinan Muhibah Perpaduan 2019

Advertisement
 Abdul Karim bergambar bersama-sama ketua masyarakat dan AJK jawatankuasa penganjur setelah majlis bersurai.
ALBUM: Abdul Karim bergambar bersama-sama ketua masyarakat dan AJK jawatankuasa penganjur setelah majlis bersurai.

KAWASAN Rukun Tetangga (KRT) Kampung Tanjong Apong di Asajaya memeriahkan sambutan Gawai dan Aidilfitri melalui penganjuran Program Jalinan Muhibah Perpaduan 2019 di Dewan Serbaguna kampung tersebut, baru-baru ini.

Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kampung Tanjong Apong tidak melepaskan peluang untuk sama-sama meraikan kedua-dua perayaan ini yang dianjurkan bersama dengan KRT Daerah Asajaya.

Mereka turut berganding bahu dengan KRT Kampung Tanjong Apong bagi menjayakan program yang bertujuan untuk merapatkan silaturahim pelbagai kaum di Asajaya.

Beberapa hari sebelum itu, pertandingan lagu raya telah diadakan di Dewan Serbaguna Kampung Tanjong Apong.

 Abdul Karim menyampaikan duit raya kepada seorang warga emas Kampung Tanjong Apong.
TERIMALAH: Abdul Karim menyampaikan duit raya kepada seorang warga emas Kampung Tanjong Apong.

Pada hari berlangsungnya sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Gawai, Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belua dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah hadir sebagai tetamu kehormat dan merasmikan sambutan tersebut.

Dalam ucapannya, Abdul Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Asajaya, melahirkan rasa gembiranya melihat usaha untuk memantapkan lagi keharmonian pelbagai kaum dan agama di Asajaya.

Beliau juga memuji Jabatan Perpaduan Bahagian Samarahan dan KRT kerana sentiasa berusaha untuk memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat tempatan di Asajaya, khasnya dan di bahagian Samarahan, amnya.

Majlis berkenaan diisi dengan acara-acara seperti penyampaian duit raya untuk warga emas oleh Abdul Karim, penyampaian hadiah pertandingan lagu raya, persembahan lagu raya dan penyampaian duit raya untuk kanak-kanak. Selain daripada itu, aktiviti cabutan bertuah turut diadakan.

Program ini merupakan acara penutup untuk sambutan Aidilfitri dan Gawai di peringkat daerah Asajaya untuk KRT.

  • oleh
  • Advertisement