Anda di sini

Huawei perintis teknologi 5G di Malaysia

 

KUALA LUMPUR : Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia) berbangga dapat menyertai Pameran 5G Malaysia di Putrajaya baru-baru ini lebih-lebih apabila Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berpeluang menggunakan model telefon Huawei Mate 20X 5G untuk membuat panggilan video 5G pertama di Malaysia.

Pengarah Negara Kumpulan Perniagaan Pengguna Malaysia, Bill Liu (gambar) berkata, buat masa ini, model Mate 20X 5G adalah telefon pintar pertama yang disijilkan dengan kebenaran peranti telekomunikasi terminal 5G yang berpangkalan di China.

Katanya, pada masa sama, Malaysia juga sedang membangunkan rangkaian 5G dan ia akan menjadi antara kumpulan pertama yang memiliki rangkaian infrastruktur teknologi generasi kelima itu.

Sebagai rekod, teknologi 5G masih dalam peringkat ujian dan akan dimulakan menjelang tahun 2021. Ia bakal memberi kelebihan kepada kehidupan manusia dalam pelbagai sektor dan industri termasuk bidang penjagaan kesihatan, automobil, pertanian dan pendidikan.

"Ini akan membolehkan pengguna merasai sendiri pengalaman menggunakan teknologi 5G dan produk 5G yang akan memanfaatkan pelbagai sektor serta industri," katanya kepada pemberita dalam sesi sidang media di Ibu Pejabat Huawei di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Bill berkata, Huawei akan terus komited dalam usaha menyeragamkan produknya dengan pasaran global dengan membawa lebih banyak peranti inovatif ke Malaysia dalam tempoh terdekat.

Jelasnya, Huawei juga berhasrat untuk meningkatkan pelaburan dalam kebajikan sosial dan latihan kakitangannya.

"Huawei mahu menambah lebih banyak saluran bagi memudahkan komunikasi dengan pelanggan selain memahami kehendak mereka. Dari situ, kita boleh menambah baik pengalaman pelanggan secara keseluruhan," katanya.