Anda di sini

Pelakon filem ‘Dangal’ Zaira Wasim bersara dari dunia Bollywood

Advertisement
 Gambar fail bertarikh 24 Jun 2018 ini menunjukkan  Zaira Wasim semasa tiba untuk Anugerah  IIFA sempena festival International Indian Film Academy (IIFA) yang ke-19 di Siam Niramit Theatre di Bangkok.  — Gambar AFP
BERSARA: Gambar fail bertarikh 24 Jun 2018 ini menunjukkan Zaira Wasim semasa tiba untuk Anugerah IIFA sempena festival International Indian Film Academy (IIFA) yang ke-19 di Siam Niramit Theatre di Bangkok. — Gambar AFP

BINTANG filem remaja yang pernah memenangi anugerah, Zaira Wasim memutuskan untuk menamatkan kariernya dalam industri hiburan Bollywood.

Pelakon filem ‘Dangal’ itu berkata, bergelar pelakon menganggu kehidupannya sebagai seorang Muslim dan bukan mudah untuk menyesuaikan diri serta memenuhi keperluan industri perfileman India.

“Ia perjalanan memenatkan, sejak sekian lama jiwa saya sentiasa berkecamuk, hidup ini singkat. Oleh itu, hari ini saya mengambil keputusan secara rasmi untuk bersara dalam arena perfileman,” ujar Zaira dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam media sosial pada Ahad.

‘Dangal’ filem berkisar seorang ahli gusti amatur India yang bercita-cita melihat anak perempuannya menjadi juara gusti dan mencatatkan rekod kutipan tertinggi pada 2016.

Zaira merangkul Anugerah Pencapaian Luar Biasa bagi kategori Pelakon Kanak-Kanak  untuk lakonannya dalam filem itu, yang turut menampilkan aktor berbakat Aamir Khan.

Pelakon berusia 18 tahun itu berkata walaupun memperoleh populariti, namun ia tidak memberikan kegembiraan.

“Semoga Allah mengurniakan kita hidayah serta petunjuk untuk meredakan setiap keraguan dan kesilapan yang dilakukan selama ini. Diharapkan kita saling membantu antara satu sama lain untuk menjadi Muslim sejati. Semoga Allah membersihkan hati kita daripada sifat munafik dan sombong,” katanya.

Ulama terkenal dari Zimbabwe Mufti Ismail Menk dan bekas ketua menteri Jammu dan Kashmir Omar Abdullah, antara yang menyokong keputusan Zaira.

Keputusannya juga mendapat pujian rata-rata penduduk di negeri kelahirannya Kashmir dan ada juga segelintir orang yang memberikan komen negatif.

Zaira baharu sahaja menamatkan penggambaran filem terbarunya ‘The Sky Is Pink’, yang juga dibintangi aktres Priyanka Chopra. Filem itu dijadual ditayangkan pada tahun ini. — Bernama

Advertisement