Anda di sini

Keberanian jadi sandaran APM wanita menangkap ular

Advertisement
 Rashidah (kiri)  dan Siti Hamizah mengendalikan ular sawa yang baharu ditangkap di Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Setar dekat Alor Setar, semalam. — Gambar Bernama
PENYELAMAT: Rashidah (kiri) dan Siti Hamizah mengendalikan ular sawa yang baharu ditangkap di Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Setar dekat Alor Setar, semalam. — Gambar Bernama

ALOR SETAR: Keberanian dan keyakinan diri adalah perkara paling penting bagi anggota wanita Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melaksanakan tugas menangkap haiwan berbisa terutama ular yang berkeliaran atau memasuki kawasan kediaman.

Anggota APM Kota Setar Sarjan Rashidah Saidin, 36, yang berkongsi pengalamannya menangkap ular berkata selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, aspek keselamatan berkaitan pakaian dan peralatan digunakan sentiasa dititikberatkan terutama apabila berdepan spesies yang agresif seperti ular tedung selar dan ular tedung senduk.

“Sebagai anggota APM tidak kira lelaki atau perempuan, kita perlu menguasai ilmu ini kerana ular berbisa seperti tedung selar sangat agresif dan berbahaya jika haiwan itu berada di bahagian atas siling rumah,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Rashidah yang telah berkhidmat di agensi itu selama 12 tahun dan berpengalaman menangkap ratus an ekor ular berkata kelalaian semasa menangkap haiwan itu boleh menyebabkan ia terlepas dan mengundang risiko keselamatan kepada anggota itu dan orang lain yang berada di kawasan berkenaan.

“Walaupun sudah banyak  kali menangkap ular, tapi saya akui masih berasa berdebar setiap kali berdepan ular yang agresif, berbisa dan memang perlu sentiasa berwaspada,” katanya yang pernah menangkap ular sawa seberat 60 kilogram dan panjang lima meter.

Rakan Rashidah, Lans Koperal Siti Hamizah Md Zain, 32, pula berkata daripada 10 kes kecemasan yang diterima APM Kota Setar setiap hari, dua hingga tiga kes adalah berkaitan ancaman ular.

Katanya, keadaan itu menyebabkan dia dan anggota APM wanita lain perlu lebih bersedia, memandangkan anggota lelaki kerap dipanggil ke lokasi kecemasan yang lain.

“Ada kalanya anggota lelaki keluar ke lokasi lain dan hanya ada anggota wanita yang bertugas dan di sini dan kami perlu respons kepada panggilan kecemasan berkaitan ancaman ular dan menangkap haiwan itu,” katanya.

Menurutnya, terdapat enam anggota wanita yang bertugas di APM Kotar Setar ketika ini yang berupaya melaksanakan tugas menangkap ular yang sebelum ini sering dilakukan oleh anggota lelaki. — Bernama

Advertisement