Anda di sini

Spider-Man tinggalkan New York dalam filem ‘Far from Home’

 

SPIDER-MAN meninggalkan New York untuk pergi ke Eropah dalam filem terbaharu Marvel mengenai adiwira yang melastik sarang labah-labah dan sekali lagi terpaksa menentang musuh baharu.

Berlatarbelakangkan Marvel Cinematic Universe, ‘Spider-Man: Far From Home’ menyaksikan protagonis Peter Parker, lakonan Tom Holland, memikul tanggungjawabnya sekali lagi sebagai adiwira apabila perisik hebat lakonan Samuel L. Jackson, Nick Fury, watak ‘Avengers’ tetap, memintanya tampil untuk menentang ancaman baharu.

Namun Parker ragu-ragu kerana dia menyertai satu lawatan sekolah ke Eropah, di mana dia hanya mahu berseronok dan meluahkan perasaannya kepada gadis yang diminatinya, MJ, lakonan penyanyi dan aktres Zendaya.

“Kita telah membawa Spider-Man keluar dari Queens dan kita meletakkannya di atas pentas dunia … kita telah membawanya ke London, Venice, Prague,” kata Holland kepada Reuters.

“Dalam filem ini, dia cuba menggantung sutnya dan tidak menjadi Spider-Man buat seketika dan berehat. Dan ke mana sahaja dia pergi, nampaknya masalah mengikutinya, jadi kita melihat dia dalam keadaan terdedah dan kita melihat bagaimana dia menangani situasi itu.”

Filem itu menyusuli filem terbitan Marvel ‘Avengers: Endgame’, finale kepada siri adiwira selama sedekad. Jackson berkata Fury “ternyata cuba mengawal semula kehidupannya dan sedikit kawalan ke atas dunia” dalam filem ini, yang turut melihat konsep berita palsu dan gambaran salah.

“Kita hidup pada waktu di mana kerumitan begitu banyak sekali dan orang sebenarnya tidak tahu apa yang sedang berlaku,” kata Jake Gyllenhaal, yang membawa watak pendatang baharu Quentin Beck.

Filem itu turut memperkenalkan perkembangan baharu dalam refleks amaran awal Spider-Man, ‘Spidey Sense’, di mana ia telah dinamakan semula sebagai ‘Peter Tingle’.

‘Spider-Man: Far from Home’, yang memulakan tayangan di panggung seluruh dunia pada minggu ini, merupakan filem kedua Holland dalam watak utama sebagai adiwira itu. Dia juga membuat penampilan dalam beberapa filem ‘Avengers’.

Dia mengikuti jejak langkah Andrew Garfield dari francais ‘The Amazing Spider-Man’ dan Tobey Maguire yang membawa watak adiwira itu dalam tiga buah filem dari 2002 hingga 2007. — Reuters