Anda di sini

Pemuzik Sudan semakin berani dalam menghasilkan karya

Advertisement

PADA waktu siang, Gadoora memeriksa pesakitnya di sebuah klinik dekat Khartoum, tetapi pada waktu malam, dia mengunci diri dalam biliknya dan menyanyikan lagu rap yang mencerminkan sentimen “revolusi” Sudan.

“Revolusi itu memecah tembok ketakutan yang sudah sekian lama wujud,” kata Gadoora.

“Lagu-lagu sudah menjadi jauh lebih berani sekarang,” tambah doktor itu, yang memilih untuk menggunakan nama pentasnya.

Keadaan yang semakin bebas sudah mengambil alih dunia muzik bawah tanah di Sudan sejak angkatan tentera menggulingkan pemerintah sekian lama Omar al-Bashir pada April lalu ekoran protes di seluruh negara selama berbulan-bulan untuk menentang pemerintahannya.

Daripada rap kepada afrobeat, pemuzik yang tinggal di Sudan dan seberang laut telah menggubah lagu yang diselit dengan beberapa slogan paling popular pergerakan protes.

Sewaktu pemerintahan kuku besi Bashir selama tiga dekad, penyanyi rap Sudan tidak dapat meluahkan perasaan diri secara terbuka.

Gadoora, yang menggubah muzik sejak 2006, sering menggunakan metafora untuk membuat insinuasi politik.

“Ia adalah sukar untuk mengasingkan politik daripada kehidupan harian anda,” katanya kepada AFP di sebuah kafe yang sibuk di Khartoum.

“Tidak kira macam mana pun anda cuba melarikan diri daripadanya, ia sentiasa mencari anda.”

Gadoora khususnya dipengaruhi tindakan yang diambil pada 3 Jun lalu ke atas sebuah kem protes di luar ibu pejabat angkatan tentera di Khartoum yang mengorbankan puluhan orang dan mencederakan ratusan lagi.

Beberapa hari selepas pembunuhan beramai-ramai itu, dia menggubah ‘Blood’ – sebuah lagu yang kini dalam talian dan mengetengahkan perasaannya mengenai tindakan ganas untuk meleraikan protes.

“Rakyat menunjuk perasaan di jalanan sambil melaungkan slogan yang aman untuk mencari kebebasan tetapi mereka disambut oleh militia yang kejam,” Gadoora menyanyikan lirik dalam suara yang serius.

“Dahi mereka dicemari darah buat selama-lamanya.”

- ‘Hab kreatif’ -

Penunjuk perasaan menuduh pasukan separa tentera yang digeruni, Rapid Support Forces, yang merupakan sebahagian daripada angkatan tentera Sudan, bagi pertumpahan darah pada 3 Jun lalu.

Ahli medik yang ada kaitan dengan penunjuk perasaan berkata sekurang-kurangnya 128 orang maut dalam tindakan yang diambil ke atas penunjuk perasaan, kebanyakan mereka pada 3 Jun.

Pegawai kerajaan memberi bilangan kematian yang lebih rendah, iaitu 61, di seluruh negara untuk hari itu.

Golongan jeneral yang memerintah Sudan menegaskan mereka tidak mengarahkan tindakan tersebut ke atas penunjuk perasaan, di mana ribuan pada mulanya berhimpun untuk menentang Bashir sebelum meneruskan usaha dengan seruan bagi pemerintahan awam selepas angkatan tentera mengambil alih kuasa.

Pemuzik masih mengingati suasana meriah ala karnival di kem protes berkenaan sebelum pertumpahan darah berlaku.

“Demonstrasi itu merupakan hab yang kreatif,” kata Ahmad Hikmat, pengurus program dan kandungan di Capital Radio yang berbahasa Inggeris.

“Muzik dan revolusi hanyalah satu perkara sahaja,” kata Hikmat, yang memakai topi dan jubah tradisional Sudan.

Pemuzik Sudan mula menerbitkan lagu revolusi kira-kira enam bulan lalu, katanya, selepas protes anti-Bashir bermula pada Disember lalu.

Di sebuah vila yang menempatkan stesen radio yang popular berkenaan, koleksi rekod vinil yang besar oleh penyanyi seperti Bob Marley dan Michael Jackson diletakkan dengan kemas di atas para-para.

Suara pemberontakan Sudan pada asasnya disebarkan menerusi internet, yang pada amnya sudah dipotong sejak tindakan ke atas penunjuk perasaan.

“Kami menentang rejim lama menerusi internet,” kata Hikmat, yang mengakui larangan penyiaran itu merupakan masalah besar bagi penunjuk perasaan.

- ‘Keamanan dan keadilan’ -

Bagi penyanyi MaMan, demonstrasi berkenaan merupakan replika bagi sebuah masyarakat utopian di mana “demokrasi” berkembang pesat.

“Apa yang berlaku sewaktu demonstrasi itu adalah apa yang kami mahukan untuk kehidupan kami pada masa depan,” kata pemuzik itu, yang enggan memberikan nama sebenarnya.

“Ia umpama Khartoum kecil … Kami membuat muzik di tengah-tengah demonstrasi dan kemudian orang berkumpul sahaja.”

Dengan itu, dia menyanyikan lagunya ‘Angora’ dalam suara dalam yang diwarnai intonasi parau dalam dialek Arab Sudan.

“Saya berdiri sambil menjerit selama sejam, mencari keamanan dan keadilan. Beri kemeja berdarah saya kepada ibu saya, beritahu anak perempuan saya tentang bapanya,” MaMan, yang memaparkan rambut bertocang yang pendek.

MaMan, 28, masih terkejut dengan kematian rakannya Mohamed Mattar dalam serbuan pada 3 Jun. “Kebanyakan waktu, apa yang saya fikirkan ialah dia,” katanya.

Kematian Mattar telah mencetuskan kempen media sosial di bawah hashtag #BlueForSudan, yang mendorong ramai pengguna untuk menukar gambar profil mereka kepada biru terang.

“Ia adalah sukar untuk melihat gambar syahid dan kemudian anda melihat rakan anda,” kata MaMan, ketika menceritakan tentang kekejutannya apabila dia diberitahu bahawa Mattar telah terbunuh.

“Saya asyik memeriksa berkali-kali, dan ia ternyata dia.” — AFP

Advertisement