Anda di sini

Peminat ingati ulang tahun kematian Jackson yang ke-10

__alt__

DENGAN bunga mawar yang disusun menjadi bentuk jantung dan mahkota yang diperbuat dengan bunga matahari kuning terang, peminat Michael Jackson dari seberang laut sejauh Iran dan Jepun memberi penghormatan pada 25 Jun lepas kepada Raja Pop itu sempena ulang tahun kematiannya yang ke-10.

Beberapa ratus peminat berkumpul di luar tempat pengebumiannya di tanah perkuburan Forest Lawn di Glendale, ke utara Los Angeles, dan bertafakur selama seminit pada jam 2.26 petang, masa Jackson, 50, disahkan mati pada 25 Jun 2009.

Mereka kemudian menyanyikan lagu ‘Heal the World’ manakala beberapa peserta dengan senyap menangis, berpelukan atau mengesat air mata.

Peminat, ada yang berpakaian seperti Jackson, meletakkan poster, anak patung, sarung tangan berlabuci dan malah jaket merah seperti pakaian utama penyanyi itu untuk ‘Thriller’ di luar makam peribadi di mana dia dikebumikan.

‘Forever King’, ‘We’ll never forget you’ dan ‘We’ll never let you part’ antara beberapa mesej dari Iran, Hungary dan Jepun.

Joan Simons pergi ke tanah perkuburan itu dari Belanda, dan berjumpa dengan orang yang dia kenali dalam kumpulan peminat Facebook selama ini.

“Semua kami rasa sama – kasih sayang untuk Michael sebagai seorang manusia, muziknya,” kata Simons kepada Reuters.

Jackson mati di kediamannya di Los Angeles selepas pengambilan dos berlebihan bagi ubat anestetik yang kuat, propofol, yang dia gunakan untuk membantunya tidur. Doktornya, Conrad Murray, disabit kesalahan di satu perbicaraan pada 2011 atas tuduhan menyebabkan kematian tanpa sengaja.

“Sedekad kemudian, Michael Jackson masih bersama kita, pengaruhnya tertanam dalam tarian, fesyen, kesenian dan muzik sekarang. Dia lebih penting berbanding selama ini,” estet Jackson menyebut dalam satu kenyataan sempena ulang tahun itu.

Sementara kematian Jackson disambut dengan gelombang kesedihan pada 2009, reputasinya telah menjadi perhatian sekali lagi disebabkan oleh dokumentari ‘Leaving Neverland’, di mana dua lelaki memberikan laporan emosional bagi apa yang mereka sebut sebagai pencabulan seksual oleh penyanyi itu pada zaman 1990an ketika mereka masih kanak-kanak.

Jackson dilepaskan daripada tuduhan mencabul seorang budak lelaki lain pada 2005, dan keluarganya menafikan tuduhan yang dibuat dalam dokumentari tersebut.

“Orang akan percaya apa yang mereka mahu percaya. Namun jika mereka benar-benar membuat penyelidikan, mereka akan tahu kebenarannya,” kata Rem Garza, 22, seorang peniru Jackson dari Long Beach, California, pada Selasa.

Carla Tonti berkata dia datang dari Florence, Itali, untuk melawat tanah perkuburan berkenaan bersama ibunya yang berusia 79 tahun, Sabrina.

“Kami rasa seakan-akan kami rapat dengan orang yang begitu seronok dengan Michael seperti kami juga,” kata Tonti. — Reuters