Anda di sini

Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri dan Ngiling Bidai KUBSB satukan usahawan

Advertisement
 Alfian merakamkan gambar bersama ahli dan keluarga KUBSB.
ALBUM RAYA: Alfian merakamkan gambar bersama ahli dan keluarga KUBSB.

MAJLIS Ramah-Tamah Aidilfitri dan Ngiling Bidai Koperasi Usahawan Bumiputera Sarawak Berhad (KUBSB) berjaya menyatukan usahawan dalam kalangan ahli koperasi.

Setiausaha Agung KUBSB Alfian Yusop berkata, dengan adanya majlis tersebut ukhuwah dalam kalangan usahawan dapat ditingkatkan sekali gus menjadikan KUBSB bertambah kukuh.

“Ahli dalam KUBSB bukan sahaja disarankan bekerja keras untuk meningkatkan perniagaan masing-masing malah bekerjasama untuk menguatkan organisasi dalam KUBSB,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena penganjuran majlis Ramah-Tamah Aidilfitri dan Ngiling Bidai KUBSB di Kuching, baru-baru ini.

Pada majlis tersebut KUBSB menyampaikan sumbangan wang khairat kematian dan pelajaran (anak ahli cemerlang dalam peperiksaan) untuk ahli.

Alfian berkata, penganjuran Bazar Aidilfitri Satok yang menerima lebih 100,000 pengunjung antara kejayaan KUBSB tahun ini.

Katanya, berdasarkan kaji selidik Bazar Aidilfitri Satok antara bazar terbesar di Malaysia menyaingi bazar ternama di Semenanjung.

Menurutnya, pihaknya berharap kerajaan Sarawak terus memberi peluang kepada KUBSB untuk menganjurkan Bazar Aidilfitri Satok pada masa akan datang.

“Penganjuran Bazar Aidilfitri Satok sejak tahun 2007 disertai usahawan kaki lima terutama usahawan Bumiputera.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Sarawak menerusi DBKU dan semua terlibat termasuk ahli.

“Kami yakin penganjuran tahun depan lebih berprestij dan jumlah pengunjung mencecah lebih 100,000 orang,” katanya.

Seramai 75 peniaga berniaga di Bazar Aidilfitri Satok yang berlangsung selama 18 hari, baru-baru ini.

Advertisement